ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api di gudang cat yang terbakar di Jalan Permatang Janggus. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman api di gudang cat yang terbakar di Jalan Permatang Janggus. FOTO ihsan bomba
Nur Izzati Mohamad


Permatang Pauh: Dua pekerja gudang perkakas cedera termasuk seorang melecur sehingga 70 peratus selepas premis tempat mereka bekerja terbakar dalam kejadian di Jalan Permatang Janggus, di sini, pagi tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 11 pagi itu, beberapa kenderaan termasuk lori, kereta dan motosikal turut dilaporkan musnah dijilat api.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, seramai 41 anggota dari beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 11.05 pagi.

Katanya, sebaik tiba didapati kebakaran membabitkan gudang yang menyimpan perkakas termasuk bahan cat dengan anggaran peratusan kemusnahan 80 peratus.

"Kebakaran turut memusnahkan dua lori, tiga kereta dan dua motosikal dengan peratusan keseluruhan kemusnahan kebakaran 90 peratus.

"Terdapat dua mangsa iaitu pekerja lelaki asing warga Myanmar berusia lingkungan 50-an dan wanita warga tempatan berusia 30-an mengalami kecederaan.

"Pekerja lelaki melecur sehingga 70 peratus manakala pekerja wanita pula cedera ringan dan mereka dihantar ke hospital berdekatan bagi menerima rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, anggota membuat kerja-kerja pengawalan dan pemadaman sebelum kebakaran dapat dikawal jam 11.48 pagi.

"Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.20 tengah hari. Pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada bahaya lain.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 6.45 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 8:24 PM