FAHMI (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Abu Bakar (tengah) pada Majlis Anugerah Keselamatan Siber dan Gala Dinner 2023. FOTO Azhar Ramli
FAHMI (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Abu Bakar (tengah) pada Majlis Anugerah Keselamatan Siber dan Gala Dinner 2023. FOTO Azhar Ramli
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, Datasonic Group Bhd (Datasonic) dipilih sebagai penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 bagi kategori Syarikat Keselamatan Siber.

Anugerah Keselamatan Siber Malaysia adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan organisasi global, usahawan kecil dan sederhana tempatan, profesional keselamatan siber serta individu atas sumbangan dalam bidang keselamatan siber.

Kejayaan merangkul anugerah itu membuktikan Datasonic kekal menjadi syarikat berdaya saing dan konsisten dalam meningkatkan keselamatan siber apabila mengulangi kejayaan menerima anugerah sama pada 2018.

Pencapaian terbabit berikutan kecemerlangan, rekod prestasi dan dedikasi serta daya saing kumpulan itu.

Pengerusi Eksekutif Datasonic Tengku Datuk Indera Abu Bakar Ahmad Tengku Tan Sri Abdullah berkata, pengiktirafan itu menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi pasukan terhadap inovasi dan kebolehsuaian kepada ruang teknologi yang sentiasa berubah.

Beliau berkata, selain itu ia bukti usaha kumpulan dalam memastikan langkah keselamatan yang teguh untuk semua produk dan penyelesaian kumpulan terutama aktiviti teras berkaitan pasport, MyKad dan kad kewangan.

"Dengan lebih banyak negara seluruh dunia yang menerima pendigitalan, komitmen kami bukan sahaja sejajar dengan trend ini tetapi juga menerajui usaha Malaysia ke arah ini.

"Platform digital kami membawa pensijilan EAL2+, menonjolkan keupayaan untuk melindungi, mengukuhkan dan menegakkan integriti data selain memastikan perlindungan semasa kami menavigasi landskap digital," katanya.

Terdahulu, beliau menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam Majlis Anugerah Keselamatan Siber dan Gala Dinner 2023 di sini, malam ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching serta Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Mengulas lanjut, Tengku Abu Bakar berkata, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan pencapaian tetapi juga dedikasi untuk memberikan nilai luar biasa kepada pelanggan dan mengukuhkan keselamatan negara dalam dunia digital.

"Lebih penting lagi, kemenangan ini memberikan motivasi yang lebih besar untuk kumpulan terutama pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kami akan terus melabur dalam bidang ini," katanya.

Dalam pada itu, majlis yang meraikan 18 penerima Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2023 turut mengiktiraf bekas Pengerusi Lembaga Pengarah Cybersecurity Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed sebagai penerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup Siber.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 11:12 PM