LODIN  (tengah) bersama Farshila  (dua dari kiri) pada sidang media sempena Mesyuarat Tahunan  Pharmaniaga   di Hotel Royale Chulan Damansara.
LODIN (tengah) bersama Farshila (dua dari kiri) pada sidang media sempena Mesyuarat Tahunan Pharmaniaga di Hotel Royale Chulan Damansara.
Suffian A Bakar


Petaling Jaya: Pharmaniaga Bhd agresif mempertingkatkan inisiatif bagi memanfaatkan potensi besar ditawarkan industri halal global termasuk dalam penghasilan vaksin halal.

Pengarah Urusannya, Datuk Farshila Emran berkata, selain lebih 150 produk farmasi keluarannya akan mendapat pensijilan halal menjelang akhir 2019, syarikat dalam proses untuk merealisasikan keupayaan menghasilkan vaksin halal yang berpotensi dieksport ke seluruh dunia.

“Ia akan mengambil masa empat tahun untuk kami siapkan segala-galanya termasuk kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kilang itu dijangka dikomersialkan pada 2024,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Pharmaniaga, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Farshila berkata, dua lokasi dikenal pasti sebagai potensi tapak kilang vaksin itu, iaitu di Sungai Petani, Kedah dan Seri Iskandar, Perak.

Pada Disember tahun lalu, Pharmaniaga memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) dengan Agensi Depositori Teknologi (TDA) and Hilleman Laboratories (Hilleman Lab).

Di bawah MoC itu, Pharmaniaga dan TDA akan bekerjasama bagi menyelaras usaha dalam membangun dan mengeluarkan vaksin halal manakala Hilleman Lab pula akan menyediakan teknologi dan pengetahuan berkaitan pengeluaran vaksin itu.

Sementara itu, Lodin berkata, operasi kumpulan itu di Indonesia mengukuh dengan sumbangan 35 peratus kepada pendapatan kumpulan tahun lalu.

Beliau berkata, disandarkan kepada peningkatan ketara permintaan terhadap penjagaan kesihatan, sumbangan pendapatan operasi di republik itu dijangka meningkat tahun ini.

Lodin berkata, kumpulan itu memperuntukkan RM75 juta sebagai perbelanjaan modal tahun ini yang sebahagian besarnya akan digunakan bagi memperkemaskan lagi operasi di Malaysia dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 6:27 AM