PENDUDUK Kampung Jawa mengunakan jambatan sementara yang dipasang Angkatan Tentera Malaysia dan JKR Petaling dan Hulu Langat yang kini menjadi laluan hubungan penduduk kampung jawa susulan kerosakan jambatan lama oleh banjir besar. FOTO Owee Ah Chun
PENDUDUK Kampung Jawa mengunakan jambatan sementara yang dipasang Angkatan Tentera Malaysia dan JKR Petaling dan Hulu Langat yang kini menjadi laluan hubungan penduduk kampung jawa susulan kerosakan jambatan lama oleh banjir besar. FOTO Owee Ah Chun
Redzuan Muharam


Hulu Langat: Kerja mengukuhkan tebing di Jalan Sungai Lui, di sini dan sekitarnya sedang giat dijalankan dalam usaha membaik pulih infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa pekerja berada di kawasan terbabit bagi menjalankan kerja.

Kerja yang dijalankan tidak menyebabkan kesesakan jalan kerana laluan utama tidak ditutup kecuali sebelah kanan dekat Batu 17, Dusun Tua, Jalan Ulu Langat, di sini.

Bagaimanapun, terdapat pekerja yang yang ditugaskan untuk mengawal laluan dan memastikan kenderaan daripada kedua-dua arah tidak bertembung selain bergerak mengikut giliran.

Cuaca panas juga membantu dalam memastikan kerja baik pulih dapat diteruskan dan tidak tergendala.

Penduduk Kampung Jawa, Halimaton Saadiah, 50, berkata, dia melihat kerja pengukuhan tebing dan baik pulih itu bermula sejak hari keempat selepas banjir.

Katanya, dia gembira melihat perkembangan itu kerana memang mahu kerja baik pulih dijalankan dengan segera.

"Sebelum ini, jambatan sementara yang lebih tinggi dibina bagi memudahkan penduduk keluar masuk.

"Kini, kerja pengukuhan tebing pula sedang dijalankan cuma saya tidak pasti tempoh ia akan disiapkan.

"Diharap projek baik pulih itu akan memberi manfaat jangka panjang buat kami semua," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor meluluskan peruntukan segera berjumlah RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membabitkan projek kelolaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, RM9.18 juta diperuntukkan bagi 13 projek kepada JPS dalam usaha pengukuhan tebing sungai, pembinaan ban sungai, pembinaan aras platform Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembelian set penghidup mudah alih serta penambahan Sistem Amaran Banjir di kawasan titik penting.

Manakala, RM31.7 juta pula diperuntukkan kepada JKR Selangor bagi projek kritikal seperti pembersihan runtuhan cerun, tebing jalan serta baik pulih jalan rosak di Jalan Sungai Lui dan Jalan Bukit Peras, di sini serta Sungai Lalang, Semenyih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:30 AM