PASUKAN STORM digerakkan bagi membantu mangsa di daerah Hulu Langat berhampiran Semenyih. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PASUKAN STORM digerakkan bagi membantu mangsa di daerah Hulu Langat berhampiran Semenyih. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu : Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan menggerakkan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) bagi menyelamat dua mangsa yang terperangkap selepas kereta dinaiki dihempap runtuhan di Hulu Langat, Selangor.

Pemangku Ketua Zon 3, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II, Ahmad Nazmi Halil berkata, dua mangsa itu dipercayai patah kaki selepas Perodua Axia dihempap runtuhan ketika melalui jalan berhampiran sempadan Jelebu pada Jumaat lalu.

Katanya, mangsa dipercayai dapat keluar dari kereta namun tidak boleh bergerak disebabkan kecederaan. "Berdasarkan halangan untuk pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih tiba ke lokasi, kita menggerakkan pasukan STORM bagi menyelamatkan mangsa.

"Seramai 11 anggota digerakkan pada jam 12.13 tengah hari tadi dengan lokasi kejadian kira-kira 10 kilometer dari sempadan daerah Jelebu dan kesemua pasukan menyelamat berjalan kaki," katanya ditemui di Genting Peras hari ini.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Mohd Fazzil Mohd Yunus.

Ahmad Nazmi berkata, pihaknya membawa pelbagai menyelamat bagi tujuan berkenaan.

Katanya, maklumat lengkap mangsa belum diketahui setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 1:17 PM