BAKRI ( tengah ) ketika meninjau jambatan yang menghubungkan Kampung Bandar Tinggi yang runtuh akibat banjir tahun lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
BAKRI ( tengah ) ketika meninjau jambatan yang menghubungkan Kampung Bandar Tinggi yang runtuh akibat banjir tahun lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Semua projek baik pulih jalan dan jambatan yang rosak akibat banjir pada 18 Disember tahun lalu di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang akan disiapkan menjelang akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang Datuk Bakri Sawir berkata kerajaan negeri komited supaya 15 projek baik pulih pasca banjir di DUN Klawang yang sedang dilaksanakan ketika ini melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) disiapkan mengikut jadual.

Katanya kerja baik pulih berkenaan di bawah seliaan Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu.

"Antara projek berkenaan membabitkan baik pulih jambatan di Kampung Tembun Binjai, Kampung Amar Penghulu, Kampung Kemin,Kampung Batu Serambai dan Kampung Peradong Pergai.

"Bagi baik pulih jalan ia membabitkan Kampung Kuala Pah Kampai,Kampung Peradong, Kampung Kuala Klawang Sarin, Kampung Tembun Binjai dan Kampung Simpang Gelami selain projek baik pulih cerun di Kampung Ulu Jelebu," katanya di sini, hari ini.

Bakri ditemui ketika melawat jambatan Kampung Bandar Tinggi yang turut runtuh akibat banjir yang melanda daerah ini tahun lalu.

Sementara itu Bakri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata kontraktor yang layak sudah dilantik bagi memulakan kerja membaiki jambatan di Kampung Bandar Tinggi itu.

Katanya kerja bina baru jambatan berkenaan akan dimulakan pada minggu depan dan dijangka siap pada Ogos ini.

Bagi penduduk, Zainab Yahya, 66, berkata dia gembira apabila jambatan yang merentasi Sungai Triang ke rumahnya yang runtuh akan dibaik pulih.

Katanya, apabila jambatan berkenaan runtuh ia menyukarkan untuk bergerak berikutan laluan berkenaan satu-satunya jalan keluar masuk ke kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:38 PM