PERMINTAAN beras tempatan ataupun SST mendapat sambutan sejak kenaikan beras dunia.
PERMINTAAN beras tempatan ataupun SST mendapat sambutan sejak kenaikan beras dunia.

Isu bekalan dan harga beras kembali menjadi topik perbualan ramai sejak minggu lalu mengundang kebimbangan pengguna mengenai kos sara hidup.

Ia susulan langkah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang menyelaraskan harga jualan beras putih import kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa mulai 1 September.

Pelbagai dakwaan dilemparkan termasuk wujudnya pertukaran kampit beras tempatan kepada import untuk mengaut untung mudah.

Penolong Pengarang Berita, YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) DATUK AZMAN MAHMOOD bagi mengulas isu itu untuk Kafe Ahad minggu ini.


Kenaikan harga beras putih import serta kesukaran untuk mendapatkan bekalan beras Super Spesial Tempatan (SST) menjadi isu terbaru. Apa yang pengguna perlu faham?

Kenaikan harga beras import berlaku disebabkan harga beras dunia sudah pun naik. Bernas dipertanggungjawabkan untuk import beras dan harga pasaran sekarang ini di peringkat dunia adalah AS$650 dan dijangka naik sehingga AS$700. Susulan daripada itu, permintaan beras tempatan dijangka mendapat permintaan yang banyak daripada orang ramai tapi tinjauan awal kita mendapati ramai yang membeli dalam jumlah pukal yang banyak antara 500 hingga 700 kampit terutama di peringkat peniaga. Sebab itu saya buat kawalan pembelian 10 kampit 10 kilogram (kg) di mana setiap kali pembelian tidak boleh melebihi 100 kg. Ini yang kita buat kawalan di bawah Peraturan 10 (1b) di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras (Akta 522).

Permintaan beras tempatan ataupun SST5 mendapat sambutan sejak kenaikan beras dunia. Sebelum ini kita dapati permintaan biasa-biasa saja dan ramai rakyat kita tidak berminat dengan beras tempatan kerana beras tempatan bukan saja yang paling murah di Asia Tenggara, RM2.60 per kg ataupun RM26 untuk 10kg, boleh dikatakan yang termurah di dunia.

 
  

Ada orang beranggapan, waktu naik harga baru penguatkuasa Bahagian Kawalselia muncul, sebagai Ketua Pengarah, apa jawapan Datuk?

Krisis beras ini sudah pun berlaku 1971, maka diwujudkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), satu badan yang lebih fokus untuk menjaga padi dan beras negara pada ketika itu. Namun ianya sudah dibubarkan dan Bernas mengambil alih pada 1996. Walau bagaimanapun, Bernas hanya bertanggungjawab untuk mengimport beras putih. Dari segi dasar, penguatkuasaan, polisi masih lagi di bawah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) yang kini di bawah KPKM.

Pada masa ini saya memikul tanggungjawab sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Padi dan pada masa sama sebagai Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras mengikut dalam Akta 522 yang dilantik oleh menteri.

Kita sudah pun melancarkan Op Jamin. Ia adalah kerjasama antara KPKM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk meninjau bekalan beras terutama beras tempatan di seluruh negara. Kenapa kerjasama ini berlaku, kerana KPDN mempunyai anggota sampai di peringkat daerah yang boleh membantu kami untuk mendapatkan maklumat mengenai bekalan beras di seluruh negara. Dengan itu penguatkuasaan ini, kita dapat data yang lebih tepat. Setakat ini terdapat 1,200 pemeriksaan Op Jamin kita jalankan di seluruh negara dan kita dapati satu kes di Selangor yang menaikkan harga beras tempatan daripada RM2.60 kepada satu harga yang lebih dan kita sudah dakwa peruncit berkenaan.

Namun untuk pertukaran kampit kita perlu dapat aduan rasmi daripada individu atau pun orang lain.

   

Bagaimana dengan bekalan beras putih tempatan ketika ini? Adakah tindakan peniaga membeli dalam jumlah yang banyak menyebabkan masalah kekurangan bekalan?

Bekalan beras putih tempatan amat terhad ketika ini namun kawalan kita hadkan kepada 10 kampit atau 100kg untuk kita kawal supaya kita boleh agihkan dan dapat dirasai seluruh rakyat kita. Perkara ini adalah bersifat sementara, apabila kita buat langkah intervensi iaitu kita perbanyakkan lagi beras tempatan dengan penambahan 20 peratus lagi, kita jangka dapat selesaikan dalam tempoh sebulan.

   


Apakah berlaku manipulasi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan dengan menukar kampit beras tempatan kepada kampit beras import dan adakah kenaikan harga berlaku secara tergesa-gesa?

Setakat ini kita belum menerima aduan secara rasmi mengenai penukaran beras kampit tempatan kepada beras kampit import. Jika mana-mana pihak atau individu ada maklumat, boleh buat aduan kepada Kawal selia Padi dan Beras di seluruh negara supaya kita boleh ambil tindakan undang-undang kepada mereka yang terbabit. Kita akan batalkan lesen serta-merta.

Kenaikan harga beras hanya di peringkat beras import dan Bernas sudah mengemukakan kenaikan harga beras ini pada bulan Jun, tetapi perkara ini berlaku pada 1 September 2023. Ini tidak boleh ditahan lagi kerana isu global. Beras dunia yang meningkat naik, jika Bernas tidak dapat menaikkan harga beras di peringkat pemborong, Bernas tidak boleh lagi bertahan dalam perniagaan mereka. Itu yang saya dimaklumkan.

   


Isu beras seolah-olah dipolitikkan, apa yang sepatutnya dibuat penggiat industri dan netizen?

Saya berharap isu beras dan padi ini tidak perlu kita politikkan kerana ini adalah isu negara. Ia membabitkan keterjaminan makanan yang menjadi tanggungjawab bersama. Semua pihak perlu memainkan peranan dan saya berharap semua pihak dapat bertenang kerana kekurangan beras tempatan ini dapat kita atasi dalam tempoh sebulan dan ia di peringkat pelaksanaan. Jika ada yang mempunyai masalah kekurangan bekalan beras tempatan, boleh maklumkan kepada KPKM melalui KPB dan kita akan cuba mengatasi semua masalah ini dalam masa terdekat.

Kita pun sudah mengatasi masalah ini seperti mana ketika pandemik Covid-19, isu bekalan beras tidak menjadi isu nasional kerana tidak dipolitikkan pada ketika itu. Namun kini saya melihat rata-rata ramai yang memberikan pandangan, mengkritik ketiadaan beras tempatan tapi tidak membuat aduan rasmi kepada kita. Perkara ini perlu dielakkan supaya ia dapat meredakan keadaan dan tidak menimbulkan suasana panik di seluruh negara.

Kita tidak ada pilihan melainkan menghasilkan sendiri beras. Sebab itu kita laksanakan Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Sekinchan untuk kita perluaskan di seluruh negara. Sekarang secara purata kita hasilkan 3.7 matrik tan per hektar. Sekiranya kita dapat tingkatkan enam metrik tan per hektar, Malaysia boleh menjadi SSL kepada 100 peratus, mungkin kita jadi negara pengeksport bila tiba waktunya nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 7:01 AM