GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi jaminan harga jualan produk sayurannya kekal pada harga rendah dan berpatutan walaupun berlaku kenaikan harga mendadak di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pihaknya melancarkan kempen jualan mega jimat untuk memastikan rakyat negeri ini terus mendapat akses kepada sayuran berkualiti pada harga rendah.

Katanya, kempen itu juga adalah sebahagian daripada promosi memperkenalkan jenama komersial PKPS iaitu Ehsan kepada orang ramai.

"Senarai sayuran yang akan dijual antaranya sawi hijau, brokoli, cili merah, cili hijau, kangkung, bayam merah, terung, timun dan sebagainya.

"Sebagai contoh, sayur pak choy yang dijual pada harga RM9 sekilogram...di pasaran kami akan jual hanya pada harga RM3.50 sekilogram.

"Manakala kacang buncis yang dijual pada harga RM15 sekilogram...di pasaran kami akan jual pada harga RM6 sekilogram," katanya semalam.

Beliau berkata, PKPS mempunyai mekanisma kawalan harga sendiri memandangkan ladangnya di Selangor Fruit Valley, Bestari Jaya turut mengeluarkan hasil sayuran.

Menurutnya, lokasi dan kaedah jualan akan dikongsi di laman Facebook dan Instagram PKPS.

"PKPS menyahut saranan dan aspirasi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mahu melihat kami sebagai peneraju Inisiatif Jaminan Bekalan Negeri.

"Kami akan terus memikirkan kaedah membantu rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

"Ketika keperluan mendesak seperti ini, peranan PKPS amat penting. Jangan risau, Insya Allah PKPS ada (menawarkan harga sayur rendah dan berpatutan)," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khairil berkata, Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan akan mengadakan sesi jualan sayuran murah menerusi aplikasi dalam talian 'mypasarborong' dalam masa terdekat.

"Sesi jualan itu sebagai alternatif kepada pembeli yang mahu kemudahan penghantaran ke rumah.

"Sebarang maklumat lanjut mengenai jualan sayuran murah ini boleh menghubungi talian 019-316 2400 pada waktu pejabat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 4:53 PM