PENSYARAH dan kontraktor dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka untuk proses permohonan reman tadi. Foto Rasul Azli Samad
PENSYARAH dan kontraktor dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka untuk proses permohonan reman tadi. Foto Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan

Dua individu masing-masing pensyarah dan kontraktor syarikat direman bagi membantu siasatan membabitkan tuntutan palsu berkaitan kerja pembekalan barangan sukan dianggarkan lebih RM200,000 di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) di Jasin antara tahun 2014 hingga 2018.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret Mohd Firdaus Saleh terhadap kedua-dua suspek yang berusia 38 tahun terbabit.

Suspek direman sehingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua suspek berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diiringi pegawai dan anggota SPRM tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Melaka kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, kedua-dua suspek ditahan di pejabat SPRM negeri di Alai pada jam 4.52 petang semalam, selepas diminta tampil untuk memberi keterangan berdasarkan aduan berkaitan.

Tangkapan dibuat selepas pensyarah berkenaan disyaki bersubahat dengan kontraktor syarikat yang berpangkalan di Segamat, Johor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerjapembekalan barangan keperluan latihan pasukan ragbi bagi tahun 2014 berjumlah RM14,400 namun ia dipercayai tidak dilaksanakan.

Siasatan awal yang dijalankan SPRM mendapati, tuntutan palsu itu dianggarkan berjumlah RM204,344.21 bagi tempoh 2014 hingga 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 11:47 AM