PENDAKWAH popular, Ebit Liew membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, susulan dakwaan fitnah terhadapnya. FOTO Ihsan IG Ebit Liew
PENDAKWAH popular, Ebit Liew membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, susulan dakwaan fitnah terhadapnya. FOTO Ihsan IG Ebit Liew
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pendakwah popular, Ebit Lew enggan berdiam diri, sebaliknya tampil membuat laporan polis susulan fitnah dilemparkan terhadapnya.

Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew membuat laporan di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, Selangor.

"Bismillah. Baru sampai dari Jeddah (Arab Saudi) 12 malam tadi terus ke Balai Polis buat report (laporan) mengenai fitnah-fitnah melampau yang langsung tidak berasas ke atas saya. Saya serahkan pihak polis untuk mengambil tindakan.

"Saya juga menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya" katanya menerusi hantaran di Instagram (IG).

Ebit bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci mengenai butiran laporan itu.

Bagaimanapun, hantarannya itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

"Diam itu lebih baik. Sangat takut zaman sekarang. Fitnah akhir zaman semakin ketara, itu bermakna kita dan akhirat pun semakin dekat," tulis pengguna IG, Tyraaa.

"Betul la orang cakap, baik berjuta kali pun kalau ada sedikit silap terus dipandang hina. Tunggu bukti kukuh dulu baru bincang, katanya," tulis seorang lagi pengguna IG, Shahzrin.

Kontroversi membabitkan Ebit, baru-baru ini tercetus selepas seorang wanita bertatu membuat pendedahan menerusi podcast penyanyi rap, Caprice, yang mendakwa mengenai sikap sebenar pendakwah berkenaan.

Pendedahan berani wanita berkenaan dipercayai menyebabkan ramai membuat andaian dan tuduhan terhadap Ebit.

Video podcast berkenaan turut tular di media sosial hingga meraih tontonan tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 9:13 AM