Datuk Seri Abd Jalil Hassan
Datuk Seri Abd Jalil Hassan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis masih menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara berhubung siasatan membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berkaitan kes gangguan seksual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan sebelum ini sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"Bagaimanapun kita masih belum menerima arahan terkini daripada Pejabat Peguam Negara," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:32 PM