M Kumar
M Kumar
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Johor merekodkan sebanyak 155 kes hanya dalam masa 15 hari bulan ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 137 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata, kes penipuan menjadi penyumbang utama bagi keseluruhan jumlah kes yang dicatatkan.

"Statistik jenayah komersial di Johor bagi tempoh 1 Mac hingga semalam merekodkan 155 kes berbanding 137 kes bagi tempoh yang sama pada 2023, iaitu peningkatan sebanyak 18 kes atau 13 peratus.

"Daripada 155 kes yang direkodkan, kes penipuan adalah kes tertinggi iaitu 123 kes atau 79 peratus yang meliputi kes belian dalam talian sebanyak 32 kes, pelaburan tidak wujud (18 kes), penyamaran talian (18 kes), pinjaman tidak wujud (16 kes) dan lain-lain penipuan (39 kes)," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak RM3,944,887.09 kerugian dicatatkan dalam tempoh separuh bulan ini berbanding RM4,336,869.25 tahun lalu.

"Jumlah kerugian ini merekodkan pengurangan sebanyak RM391,982.16 atau sembilan peratus.

"Kes penipuan juga merekodkan jumlah kerugian tertinggi iaitu RM3,446,686.75 atau 87 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dilaporkan," katanya.

Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya secara berterusan akan menjalankan kempen kesedaran jenayah komersial di seluruh kontinjen secara bersemuka mahu pun melalui media sosial.

Katanya, orang ramai juga dikehendaki lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.

"Dapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial secara dalam talian melalui akaun rasmi JSJK @CyberCrimeAlert dan @JSJK PDRM di laman Facebook, Instagram dan Tiktok.

"Orang ramai juga disarankan menggunakan talian CCID infoline dan menggunakan perkhidmatan 'Semak Mule' sebelum membuat sesuatu pembayaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 12:55 PM