DATUK Mohd Kamarudin Md Din. FOTO Ihsan PDRM
DATUK Mohd Kamarudin Md Din. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Golongan berusia 51 tahun ke atas cenderung menjadi mangsa penipuan Macau Scam kerana kurang terdedah terhadap maklumat serta perkembangan semasa kes penipuan yang berlaku.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya merekodkan 5,527 kes penipuan Macau Scam membabitkan kerugian lebih RM327 juta bagi tempoh 2019 hingga Jun lalu.

"Pada 2019, sebanyak 2,466 kes dilaporkan dengan kerugian lebih RM121 juta, namun jumlah kes tahun lalu turun apabila mencatatkan 2,247 kes tetapi nilai kerugian meningkat kepada lebih RM172 juta.

"Bagi tempoh Januari hingga Jun lalu pula, sebanyak 814 kes direkodkan membabitkan kerugian lebih RM33 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, statistik menunjukkan daripada 5,535 mangsa yang terbabit bagi tempoh berkenaan, individu dalam lingkungan umur 51 tahun ke atas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,621 orang atau bersamaan 29.3 peratus.

Menurutnya, mangsa dalam lingkungan umur 41 hingga 50 tahun pula merangkumi 17.8 peratus, golongan berusia antara 31 hingga 40 tahun (25.3 peratus); golongan lingkungan umur 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus) dan golongan berusia bawah 20 tahun (1.5 peratus) daripada jumlah keseluruhan berkenaan.

"Berpandukan kepada analisis dijalankan, kami percaya golongan berusia 51 tahun ke atas cenderung menjadi mangsa penipuan kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes penipuan yang berlaku.

"Keadaan itu ditambah pula dengan kedudukan ekonomi golongan berkenaan yang lazimnya mempunyai aliran kewangan stabil, ada wang simpanan untuk hari tua mahupun wang persaraan menyebabkan peratusan mereka menjadi mangsa penipuan lebih tinggi.

"Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan untuk menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melihat terdapat keperluan komunikasi dalam kalangan ahli keluarga dalam usaha menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.

"Ahli keluarga khususnya anak-anak hari ini yang mempunyai maklumat pendedahan langsung dengan maklumat daripada media sosial disarankan untuk memaklumkan pengetahuan diperoleh kepada ibu bapa supaya mereka turut cakna dengan situasi semasa.

"Kami mengharapkan melalui peranan yang dimainkan setiap daripada kita, kes jenayah penipuan terutamanya Macau Scam dapat dicegah dan dihapuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 12:26 PM