Subang Jaya: Sekumpulan perompak ‘Geng Puchong’ terus mengganas apabila bertindak merompak seorang pengurus kilang yang baru mengeluarkan wang tunai RM48,000 dari sebuah bank.

Dalam kejadian jam 4.20 petang kelmarin, penjenayah bertindak berani menghalang kereta dinaiki mangsa berhampiran Bandar Bukit Puchong di sini, sebelum merompak lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang berusia 40 tahun ditahan tiga lelaki menunggang motosikal dan kereta Proton Wira sebaik keluar dari bank.

Menurutnya, suspek kemudian terus mengacukan parang ke leher mangsa.

“Mangsa yang bimbang dicederakan tidak berani melawan dan hanya melihat suspek merampas beg berisi wang tunai itu.

“Difahamkan wang itu bakal digunakan untuk membayar gaji pekerja kilang milik mangsa,” katanya.

Dia berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah kumpulan samun yang gemar menyerang hendap sebaik mangsa mengeluarkan wang dari bank di sekitar Puchong.

“Mereka disyaki mencari mangsa yang keluar bersendirian membawa beg sebelum menyamun mereka di kawasan lain,” katanya.

Menurutnya, mangsa tidak dapat mengecam suspek berikutan dua daripada penjenayah memakai topi keledar tutup penuh muka.

“Suspek yang menaiki kereta tidak keluar dari kenderaan. Suspek dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun,” katanya.

Yahaya berkata siasatan lanjut masih dijalankan sama ada jenayah itu turut membabitkan ‘orang dalam’ yang memberi maklumat kepada penjenayah.

Katanya, polis sedang memburu ketiga-tiga suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 6:32 AM