GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta di Batu 14, Puchong, Subang Jaya, awal pagi semalam selepas dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

Mangsa yang juga penganggur berusia 26 tahun, ditemui mati dalam sebuah kereta Proton Gen2, sekitar jam 12.50 tengah malam semalam di kawasan sebelah Stesen Minyak Petronas, Batu 14, Puchong.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakan-rakannya ketika berada di kawasan PPR Kampung Muhibbah, di sini, pada malam Ahad lalu.

"Ekoran dari kejadian itu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil, di sini, pada jam 5 pagi, Isnin.

"Bapa mangsa mengetahui tentang anaknya dilarikan selepas dimaklumkan oleh teman wanita anaknya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata susulan dari itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, kemudian menahan empat lelaki berusia antara 27 hingga 35 tahun di sekitar Lembah Klang, yang disyaki melarikan mangsa dari PPR Muhibbah.

"Susulan dari itu terdapat penemuan mayat seorang lelaki di Batu 14, Puchong, Subang Jaya, pada tengah malam semalam (6 September).

"Hasil siasatan susulan terhadap mendapati mayat itu adalah lelaki yang dilaporkan dilarikan di PPR Muhibbah," katanya.

Alllaudeen berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati motif kejadian ini dipercayai dendam akibat mangsa melarikan barang milik suspek utama yang masih diburu.

"Setakat ini, polis masih memburu dua lelaki berusia termasuk satu suspek utama berusia 40-an yang juga seorang warga asing, "katanya.

Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua empat suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah narkotik selain turut positif dadah semasa ditahan.

Setakat ini siasatan oleh Polis Kuala Lumpur dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang manakala siasatan oleh Polis Kontinjen Selangor dijalankan di bawah Seksyen 302 kanun yang sama atas kesalahan membunuh.

Bedah siasat ke atas mangsa di Hospital Serdang, mendapati dia mengalami kecederaan patah rahang dan tulang rusuk serta retak pada bahagian tengkorak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:10 PM