ROZAIMAN (dua kiri) bersama Mohd Shakuddin (dua kanan) masing-masing mengaku tidak bersalah. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ROZAIMAN (dua kiri) bersama Mohd Shakuddin (dua kanan) masing-masing mengaku tidak bersalah. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Abdul Rahemang Taiming

[email protected]

Pic by Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Guru sebuah sekolah menengah di Semporna dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini, atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan bayaran perkhidmatan berjumlah RM1,300, lima tahun lalu.

Tertuduh, Rozaiman Basari, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu masing-masing lesen berniaga syarikat Mad Sahirun Kontraktor dan penyata akaun semasa Maybak Islamic atas nama syarikat sama untuk tujuan menipu.

Kedua-dua dokumen itu digunakan sebagai dokumen sokongan kepada invois syarikat terbabit bagi tuntutan bayaran perkhidmatan bekalan perkhidmatan bagi Program Kelas Bimbingan Asrama SDPA 2018 berjumlah RM1,300.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Sekolah Menengah Datuk Panglima Abdullah, Semporna pada 8 Ogos 2018.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pemilik syarikat Mad Sahirun Kontraktor, Mohd Shakuddin Samsudin, 33, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat mengemukakan dokumen palsu berkenaan bersama Rozaiman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan kedua-dua pertuduhan itu disebut semula pada 17 Oktober ini, dan menetapkan ikat jamin RM10,000 (deposit RM3,000) serta kedua-dua tertuduh perlu melapor diri kepada SPRM Tawau dua bulan sekali selain dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada Mahkamah.

gambar:

1- TAWAU 14 SEPTEMBER 2023. Tertuduh, Rozaiman Basari, 45, (dua dari kiri) bersama Mohd Shakuddin Samsudin, 33, (dua dari kanan) masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini. Nstp / Abdul Rahemang Taiming.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 12:55 PM