Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Buruh ladang dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kandungnya pada Ogos 2020 dan Januari 2021.

Lelaki warga Indonesia berusia 50 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan yang bertindak sebagai Hakim.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya berusia 17 tahun (ketika kejadian) di sebuah bilik rumah tanpa nombor iaitu rumah pekerja sebuah ladang di Kalabakan, di sini, pada 10 malam Ogos 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi anak perempuannya berusia 15 tahun (ketika kejadian) di lokasi sama pada 11 malam Januari 2021.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana dalam hujahnya memohon hukuman berat dan setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam selain kedua-dua mangsa adalah anak kandung tertuduh sendiri.

TERTUDUH dihukum penjara 20 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku salah melakukan amang seksual fizikal keatas dua anak perempuannya. FOTO Abdul Rahemang Taiming
TERTUDUH dihukum penjara 20 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku salah melakukan amang seksual fizikal keatas dua anak perempuannya. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Selain itu katanya, tertuduh juga sedang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol anak sulungnya.

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Jhassary P Kang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh sudah insaf dan menyesal atas perbuatannya selain mempunyai ramai tanggungan iaitu 10 anak.

Bagaimanapun, Amir Shah dalam penghakimannya berkata, perbuatan tertuduh adalah kesalahan serius yang boleh mendatangkan trauma berpanjangan kepada mangsa yang kini sudah remaja dan meningkat dewasa.

Katanya, kedua-dua mangsa wajar dipisahkan daripada tertuduh untuk satu tempoh yang lama bagi mengelakkan kesalahan sama berulang.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan yang berkuat kuasa secara berasingan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 11 Januari lalu.

"Tertuduh akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya serta di bawah pemantauan pihak polis untuk tempoh selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 3:23 PM