KEADAAN motosikal selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Omar Osman
KEADAAN motosikal selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Hasrat dua lelaki ke Karnival Jom Heboh di Amanjaya Mall, di sini, tidak kesampaian apabila seorang daripadanya maut manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggangi mereka bertembung dengan treler di Jalan Sungai Petani-Alor Setar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten, Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian berlaku 9.45 malam dan ketika itu mangsa menunggang motosikal berasingan dari Taman Sinar Mentari, Sungai Lalang menuju ke arah Sungai Petani.

Katanya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di tempat kejadian mangsa, Muhammad Nabil Amar Sabarudin, 18, dan rakannya, Muhammad Nazri Muhammad Nazari, 18, yang menunggang di bahu jalan sebelah kiri, gagal mengelak lori kontena yang membelok ke kanan lalu bertembung dengan kenderaan itu.

"Akibatnya, kedua-dua mangsa terjatuh dan seorang daripadanya tercampak ke bawah lori kontena itu dan digilis tayar kenderaan itu.

"Muhammad Nabil Amar yang parah di badan, kaki serta kepala dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan, namun meninggal dunia ketika rawatan di Jabatan Kecemasan, manakala rakannya hanya cedera," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa yang juga anak anggota Trafik Kuala Muda kemudian dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 3:28 PM