Mangsa banjir menunjukkan tingkap yang digunakan untuk keluarkan adik perempuan yang OKU dan selamatkan diri dalam kejadian banjir petang kemalrin, di Kampung Chinggong. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Mangsa banjir menunjukkan tingkap yang digunakan untuk keluarkan adik perempuan yang OKU dan selamatkan diri dalam kejadian banjir petang kemalrin, di Kampung Chinggong. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Oleh Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: "Kami menempuhi pengalaman ngeri apabila air deras merempuh rumah sehingga terpaksa keluarkan adik orang kurang upaya (OKU) melalui tingkap," kata Khairul Norji, 33, mangsa banjir kilat di penempatan Orang Asli Kampung Chinggong.

Khairul berkata, dia terpaksa berbuat demikian selepas semua pintu rumah tidak dapat dibuka akibat aliran air yang terlalu deras di perkarangan rumah.

Katanya, dia hanya menyedari kawasan rumah mula dinaiki air selepas sepupunya yang tinggal bersebelahan berteriak memaklumkan air sedang melimpah kawasan kampung itu.

"Ketika kejadian, saya tinggal bersama adik perempuan, Nor Azlita berumur 22 tahun yang juga OKU. Ibu dan ayah berada di kebun.

"Oleh kerana pintu depan dan dapur rumah tidak dapat dibuka menyebabkan saya terpaksa minta tolong jiran untuk keluarkan adik melalui tingkap," katanya.

Menurut Khairul, hujan berlaku kira-kira jam 5 petang semalam dan selepas sejam air mula mengalir deras masuk ke dalam kampung.

"Saya ingat hanya banjir kilat biasa kerana sebelum ini kampung ini tidak pernah dilanda banjir seteruk ini.

"Air naik mendadak menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan semua barang rumah termasuk kenderaan di terletak di perkarangan rumah," katanya.

Terdahulu, seramai 433 penduduk Kampung Chinggong, di sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir kilat, malam tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Muallim berkata, hujan lebat kira-kira dua jam lewat petang menyebabkan Sungai Behrang melimpah.

Sementara itu, rata-rata penduduk mendakwa kejadian semalam adalah banjir paling teruk kali pertama berlaku di Kampung Chinggong sejak 14 tahun lalu.

Penduduk, Mohd Harizi Mohd Aris, 41, berkata, sebelum ini jika hujan terlalu lebat di kawasan setempat dan hulu Sungai Behrang hanya sesetengah kawasan kampung dilanda banjir kilat.

Katanya, dia hanya menyedari air masuk ke kawasan rumah selepas dimaklumkan jiran kerana tidak menyangka air kali ini begitu deras.

"Macam kepala air yang turun ke kawasan kampung kerana terlalu deras di perkarangan rumah dan menerjah masuk ke dalam rumah melalui pintu.

"Saya memang tidak sempat selamatkan apa-apa barang hanya fikir hendak selamatkan diri dan barang peribadi yang penting sahaja," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Kamal Tammat, 48, berkata, ketika kejadian terbabit dia sedang berkerja dan pulang kira-kira jam 7 malam mendapati rumah digenangi air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 3:48 PM