Siti Aminah Mohd Yusof


Bayan Lepas: Seramai 60 penduduk di Jalan Kampung Bukit di sini berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dilanda banjir kilat setinggi satu meter berikutan hujan lebat selama tiga jam sejak jam 7.30 pagi tadi.

Siti Nashiyatul Aishiyah Jalim, 38, berkata dia yang tinggal berhampiran Sungai Bayan Lepas menyedari air sungai melimpah dan melepasi tebing kira-kira jam 8.30 pagi.

"Rumah saya paling dekat dengan sungai jadi bila nampak air semakin tinggi saya beritahu suami supaya alih motosikal dan sempat menghubungi jiran-jiran supaya turut mengalihkan kenderaan mereka..

"Selepas itu saya cepat-cepat dukung anak perempuan yang berusia dua tahun menyeberangi titi yang sudah dinaiki air untuk hantar ke rumah sepupu tak jauh dari rumah kami.

"Pada masa itu anak sedang tidur dan pada mulanya saya ingat nak patah balik untuk selamatkan barang dan tengok keadaan rumah tapi dah tak sempat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Suri rumah itu berkata, suaminya Nor Afis Nor Ahmad, 39, terpaksa memanjat tembok dinding untuk keluar dari rumah kerana air sudah memenuhi ruangan pintu masuk pada paras pinggang sebelum berlari ke seberang jalan.

Katanya, dia bernasib baik kerana suaminya yang juga pekerja kurier biasanya bekerja pada hari Sabtu dan ini adalah kali kelima rumah yang dibina di atas tanah pusaka keluarganya dilanda banjir sejak tinggal di situ enam tahun lalu.

Sementara itu, Farid Zarus, 60, menyifatkan keadaan rumahnya yang tunggang langgang dengan peti ais dan katil terbalik selepas dilanda arus deras banjir kilat itu.

Katanya, dia, isteri dan anak tunggalnya baru pulang dari program sukan di sekolah kira-kira jam 10.30 pagi ada dimaklumkan jiran yang memberitahu kawasan kediaman mereka turut ditenggelami air.

"Masa kami keluar jam 7 pagi belum hujan kerana ingin memberi sokongan kepada anak istimewa kami yang membuat pertunjukan pencak silat sempena hari sukan di sekolahnya.

PARAS air Sungai Bayan Lepas melepasi pagar titi semasa kejadian banjir kilat di Jalan Kampung Bukit di sini. FOTO Danial Saad
PARAS air Sungai Bayan Lepas melepasi pagar titi semasa kejadian banjir kilat di Jalan Kampung Bukit di sini. FOTO Danial Saad

"Jadi walaupun tahu lebih awal saya tunggu anak habis buat persembahan baru kami pulang ke rumah dan tak sangka keadaan boleh jadi teruk begini dengan kerugian dianggarkan RM20,000 katanya.

Ketua Operasi Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Barat Daya, Kapten Salman Rahimi Manaf, berkata selain hujan lebat faktor air pasang turut menyebabkan banjir kilat di kawasan itu.

"Kebanyakan penduduk tidak sempat berpindah kerana kejadian sangat pantas selain jalan masuk dan keluar ke kampung berkenaan terputus hubungan akibat ditenggelami air.

"Tetapi air surut dengan pantas dan pegawai dan anggota kami ketika ini giat memantau situasi banjir selain ada membantu penduduk di beberapa kawasan lain menolak kenderaan yang terkandas banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 1:18 PM