ZAMRI menyerahkan kad pengenalan kepada Abdul Wahab pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Telaga Daing, hari ini. FOTO Faizaul Azlan Razak
ZAMRI menyerahkan kad pengenalan kepada Abdul Wahab pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Telaga Daing, hari ini. FOTO Faizaul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Kira-kira 8,000 kad pengenalan (MyKad) dilaporkan hilang di seluruh negara setiap tahun, sejak lima tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zamri Misman berkata, jumlah itu membabitkan kira-kira empat peratus daripada 200,000 kad pengenalan yang dikeluarkan setiap tahun.

Beliau berkata, pihaknya bimbang dengan isu berkenaan kerana berkemungkinan, individu tidak bertanggungjawab yang menemukannya akan menyalahgunakan MyKad berkenaan.

"Kita dapati sekiranya sebanyak 200,000 MyKad yang dikeluarkan setiap tahun, empat peratus iaitu 8,000 dilaporkan hilang.

"Kadang-kadang mereka (pemilik) pergi bercuti ke mana-mana sehingga tertinggal dan berlaku kehilangan.

"Mereka perlu ingat, individu yang hilang MyKad kali ketiga akan didenda RM1,000," katanya yang ditemui pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Telaga Daing, di sini, hari ini.

Zamri berkata, pihaknya meminta orang ramai yang berlaku kehilangan MyKad segera melaporkan kepada polis dan membuat kad pengenalan baharu di JPN.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapati kes daftar lewat MyKad berjumlah 4,000 kes disebabkan pelbagai faktor.

"Antaranya membabitkan golongan orang kurang upaya (OKU) dan ada yang tidak tahu kena buat kad pengenalan," katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan Zamri turut menyerahkan kad pengenalan kepada warga emas OKU kategori lembam, Abdul Wahab Saleh, 71 tahun.

Warga emas itu yang tidak pernah berkahwin dan tiada tempat kediaman yang tetap serta hidup menumpang dengan saudara-mara hanya memiliki surat beranak bertaraf warganegara.

Sementara itu, anak saudaranya, Normah Mamat, 59, berkata selama ini bapa saudaranya itu berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan atau klinik dengan atas ehsan budi bicara kakitangan.

Menurutnya, dia mula membuat permohonan untuk mendapatkan kad pengenalan bapa saudaranya itu pada Mei lalu di pejabat JPN Negeri Terengganu.

"Bapa saudara yang dilahirkan di Kampung Pasir Tinggi, Serada dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami testis bengkak.

"Sejak itu, kami berdepan masalah pembiayaan kos rawatan kesihatan di hospital dan perlu mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dia tidak mempunyai kad pengenalan.

"Saya mula membuat permohonan mendapatkan kad pengenalan bapa saudaranya dan bersyukur memperoleh hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 6:59 PM