Iskandar Shah Mohamed

WANITA warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu.

Majistret Roslizi Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Berkis Sisam, 35, yang berasal dari Zamboanga, Filipina.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan MyKad palsu bernombor 830206-12-5128 atas nama Siti Sarah Sarudin sebagai pengenalan dirinya.

Perbuatan itu dilakukan di Blok 37, Pangsapuri PKNS, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, pada 1.35 pagi, 15 September lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, wanita yang masih bujang itu ditahan dalam satu operasi bersepadu dijalankan bersama Jabatan Imigresen cawangan Pelabuhan Klang di sekitar daerah ini.

Hasil semakan Bahagian Rekod Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor mendapati imej dan cap jari yang merujuk kepada individu pada kad pengenalan itu tiada dalam rekod.

Siasatan lanjut kemudian membawa kepada pengakuan suspek yang mendakwa menggunakan kad palsu itu sejak beberapa bulan lalu.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN negeri, Zamri Ramli.

Roslizi turut memerintahkan semua barang kes dilupuskan oleh JPN selain hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:52 PM