DR Malar.
DR Malar.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia daripada segi bangsa, budaya dan agama wajar diangkat sebagai satu kelebihan yang perlu diraikan oleh setiap rakyat negara ini.

Dengan amalan saling hidup bersatu padu dalam suasana penuh harmoni, hendaknya tiada mana-mana kaum iaitu Melayu, Cina, India serta etnik lain termasuk di Sabah dan Sarawak yang menganggap mereka dipinggirkan.

Pandangan dikongsi pegawai perubatan yang juga pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan atau lebih dikenali Dr Malar dalam wawancara, baru-baru ini.

Masing-masing berpeluang membangunkan potensi diri dengan segala kemudahan termasuk pendidikan sehingga mencapai mercu kejayaan sehingga layak digelar ikon masyarakat dalam bidang tertentu.

Menurut beliau, setiap anggota masyarakat perlu menghargai nilai kemerdekaan dan kemajuan negara dengan terus kekal bersatu hati walau apa jua rintangan yang melanda.

Dr Malar, 40, mencuri tumpuan umum melalui laman sosial Facebook dan TikTok miliknya dengan nama akaun 'Celoteh Dr Malar' kerana fasih berbahasa Melayu dalam berkongsi maklumat berkaitan pandemik Covid-19, vaksin dan isu lain berkaitan kesihatan.

Menurut anak kelahiran Kuantan, Pahang itu, isu remeh seperti ada pihak berasa dipinggirkan sepatutnya tidak lagi timbul dan dijadikan penghalang memajukan diri.

"Walaupun saya berbangsa India, saya tidak pernah rasa dianaktirikan di negara ini. Apatah lagi kemerdekaan yang kita kecapi hari ini semuanya hasil perpaduan nenek moyang terdahulu demi keselesaan generasi seterusnya.

"Sebagai contoh, saya dan tiga adik-beradik yang lain menerima tawaran untuk sambung belajar di universiti tempatan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan Universiti Malaysia Pahang.

"Namun begitu saya memilih untuk sambung belajar ke Universiti Perubatan Krimea (CSMU), Ukraine. Syukurlah, sekarang kami semua berjaya dan dapat berkhidmat untuk masyarakat," katanya.

Ibu kepada sepasang cahaya mata berusia enam dan sembilan tahun itu mengambil contoh ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19, apabila semua pihak memainkan peranan melakukan yang terbaik dalam mendepani situasi sukar itu.

"Meskipun tiada pengalaman berhadapan pandemik Covid-19, namun demi menyelamatkan nyawa semua, kami petugas kesihatan sebagai barisan hadapan tetap menjalankan tugas walaupun terpaksa merisikokan diri sendiri.

"Hasil kerjasama semua pihak, kita akhirnya berjaya memasuki fasa peralihan ke endemik. Antara iktibar yang boleh diambil ialah kesihatan perlu terus menjadi keutamaan dan jangan pernah tinggalkan amalan saling menjaga kebajikan orang sekeliling kerana kita semua adalah satu keluarga besar berbilang bangsa," katanya yang menerima Anugerah Pekerja Contoh pada Sambutan Hari Pekerja 2023 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui terkejut dengan penganugerahan itu, Dr Malar bagaimanapun menyifatkannya sebagai penghargaan kepada semua petugas kesihatan yang bertungkus lumus menyelamatkan seramai mungkin nyawa.

"Saya juga harap anugerah ini boleh menjadi pemangkin kepada semua pihak untuk terus berusaha memajukan negara menerusi bidang kerjaya masing-masing," katanya yang mula aktif di laman sosial sejak tahun 2021 termasuk membantu memberi penerangan kepada masyarakat bagi mengurangkan kesesakan di hospital ketika pandemik.

Bagi peminat siri sitkom, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang cukup popular pada 1980-an hingga ke episod akhir (2004), dengan kisah kehidupan seharian penduduk di Flat Seri Wangi, mungkin masih ingat watak Lucy, gadis berbangsa Cina, lakonan Angeline Tan, 56.

Menurut Angeline, berdasarkan pengalaman dalam industri kreatif negara sebagai pelakon filem dan drama serta pelawak sejak 1986, perpaduan kaum wujud dalam kalangan rakyat Malaysia cukup unik dan sukar untuk ditandingi oleh negara lain.

Buktinya, ketika mula-mula bekerja untuk menjayakan sitkom itu, beliau menerima tunjuk ajar daripada semua pihak yang terlibat biarpun ketika itu belum mahir berbahasa Melayu sepenuhnya.

"Tidak ada seorang pun yang mentertawakan saya, malahan mereka sanggup membantu saya berlakon sehingga saya menjadi fasih berbahasa Melayu. Masih segar di ingatan saya perlu, antaranya berlatih sambil menghafal skrip selama tiga jam setiap hari sebelum memulakan penggambaran.

"Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menceritakan mengenai kehidupan dan konflik seharian penduduk di Flat Seri Wangi sebenarnya sudah cukup menggambarkan perkara yang berlaku dalam masyarakat sekeliling kita.

"Sebagai contoh dalam satu episod bertajuk 'Penyakit', watak Mat Deris (dilakonkan oleh Ahmad Busu) ditimpa penyakit, namun ditertawakan Budin (dilakonkan oleh Imuda) dan dua rakannya. Namun perbuatan mereka ditegur oleh Mak Ngah (Khatijah Tan) adalah tidak baik mentertawakan orang kesusahan, sebaliknya mereka harus memikirkan cara bagaimana membantu rakan yang sakit," katanya menambah, generasi muda harus menonton kembali sitkom ini kerana topik dan mesej disampaikan kekal relevan sepanjang zaman.

Angeline berasal dari Kuala Lumpur dan mesra dipanggil 'adik' oleh sebahagian besar 'keluarga' Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, biarpun pelakon sitkom daripada berlainan bangsa (Melayu, Cina dan India), tidak pernah beliau berasa kekok bekerjasama kerana semangat kebersamaan masyarakat berbilang kaum terjalin sejak sekian lama.

"Kesepakatan wujud ketika menjalani sesi penggambaran terutamanya membuktikan kita semua mampu hidup bersama tanpa mengira latar belakang kaum. Kita semua anak Malaysia dan perlu sentiasa berusaha mencari titik persefahamam demi kebaikan semua pihak," katanya yang masih berhubung dengan pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu seperti Sabri Yunus, Imuda, Sathia dan Khatijah Tan kerana menganggap seperti keluarga sendiri.

Angeline juga pernah berlakon dalam filem dan drama Melayu lain seperti Yes, Tuan, KL Gangster, KL Gangster 2, Pontianak Menjerit, Redha, Duan Nago Bogho, Kerana Aku Seorang Ibu dan Pok Ya Cong Codei: Memburu Siti.

Sementara itu, integrasi kaum yang wujud dalam negara ini bagaikan 'bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat'.

Dalam menggunakan pepatah demikian, Felo Penyelidik Kanan Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaaan Malaysia Prof Madya Dr Zaini Othman berkata, biarpun berhadapan dengan pelbagai ujian yang mengancam keutuhan negara namun semua pihak tetap berpadu tenaga menanganinya sebagai sebuah entiti sosial.

"Kesepaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa negara kini berada pada tahap baik dan utuh, yang perlu terus dipertahankan daripada sebarang ancaman perpecahan kaum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 7:03 AM