Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Kerajaan tidak bercadang membuka laluan khas di kompleks sempadan Johor-Singapura bagi memudahkan pengundi pulang susulan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, pada 9 September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sebarang perubahan lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan kemudian.

"Buat masa ini kita kekal dengan keadaan sekarang (laluan di sempadan Malaysia-Singapura).

"Jika ada apa-apa perkembangan lanjut mengenainya akan kita maklumkan.

"Esok pun saya akan berada di Singapura pada sebelah petang untuk berjumpa sendiri dengan sebahagian rakyat Malaysia yang bekerja di sana bagi dengar sendiri dari mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Kelompok PH di Taman Anggerik, di sini, malam ini.

SAIFUDDIN Nasution ketika menyampaikan ceramah kelompok di Taman Anggerik, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
SAIFUDDIN Nasution ketika menyampaikan ceramah kelompok di Taman Anggerik, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Minggu lalu, Calon PH PRK Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat memohon Jabatan Imigresen membuka laluan khas di kompleks sempadan Johor-Singapura pada 9 September ini.

Katanya ia bagi memudahkan rakyat Johor yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi pada PRK khususnya di Parlimen Pulai.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan dengan pekerja Malaysia di Singapura esok, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata, ia untuk mendapatkan input dan penilaian terhadap kesediaan mereka pulang untuk mengundi di Parlimen Pulai, Sabtu ini.

Katanya, mengikut data terdapat 30 peratus pengundi Parlimen Pulai bekerja di Singapura.

"Kita masih ada berapa hari lagi sebelum hari mengundi. Saya akan diberi taklimat oleh jentera pilihan raya bagaimana mereka (pekerja Malaysia di Singapura) sama ada telah dapat akses daripada penyebaran maklumat dan mesej kita sepanjang kempen.

"Esok saya akan dengar maklum balas mereka selain kesediaan pengundi yang bekerja di Singapura, sama ada akan balik atau tidak. Kita akan buat penilaian mengenai itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:16 AM