SAIFUDDIN Nasution sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
SAIFUDDIN Nasution sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil inisiatif secara rintis pemindahan kanak-kanak warga asing dari depot Imigresen ke premis penempatan khas sementara yang dikenali sebagai Baitul Mahabbah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Baitul Mahabbah akan menempatkan kanak-kanak yang berusia kurang 10 tahun yang diuruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, penempatan berkenaan bertujuan memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit yang berada di depot Imigresen terus terpelihara dan selamat.

"Penempatan ini membabitkan kanak-kanak yang mempunyai penjaga atau sebaliknya dan ia adalah bersifat sementara sehingga urusan dokumentasi mereka (warga asing) dapat disiapkan bagi tujuan dihantar pulang ke negara asal.

"Inisiatif ini adalah sesuai dengan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Kanak-Kanak 2021 ataupun di bawah Kanun Keseksaan dan komitmen kita terhadap Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.

"Dalam usaha ini, KDN bukan sendirian tetapi diwujudkan dengan kerjasama dan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain termasuk di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, melalui bantuan NGO, proses melengkapkan peralatan dan kemudahan untuk keselesaan kanak-kanak di penempatan berkenaan dapat dipercepatkan.

Beliau berkata, Pejabat Strategik Nasional Majlis Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (NSO MAPO) dan Bahagian Hal Ehwal Imigresen (IM) adalah peneraju bersama di peringkat KDN bagi pelaksanaan inisiatif ini.

Menurutnya, KDN juga akan mengadakan libat urus dengan NGO bagi tujuan pengisian aktiviti kepada kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah terbabit.

"Pada peringkat permulaan ini, terdapat 23 kanak-kanak dan 10 orang penjaga dari kalangan ibu kanak-kanak terbabit.

"Mereka ini dari Depot Imigresen Bukit Jalil, Depot Imigresen Semenyih, Depot Imigresen KLIA dan Depot Imigresen Eco Millennium Beranang," katanya yang memaklumkan penempatan terbabit boleh memuatkan sehingga 80 kanak-kanak.

Saifuddin Nasution berkata, setakat ini terdapat 1,382 tahanan kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah.

Menurutnya, kanak-kanak ini tidak akan kekal di pusat berkenaan, malah proses pemindahan ke negara asal berjalan seperti biasa sebagaimana proses di depot imigresen lain, bezanya kanak-kanak ditempatkan secara berasingan di sini.

Beliau juga berkata, inisiatif ini adalah strategi serampang dua mata dalam mewujudkan polisi baharu mengenai kepentingan terbaik kepada kanak-kanak di negara ini.

"Selain itu untuk meningkatkan imej negara di persada antarabangsa dalam usaha menjaga hak asasi kanak-kanak dalam depot Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2023 @ 5:54 PM