SAIFUDDIN ketika sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SAIFUDDIN ketika sidang media Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Turut kelihatan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan projek rintis untuk memindahkan kanak-kanak warga asing berusia 18 tahun ke bawah yang berada dalam depoh tahanan imigresen ke pusat penjagaan lebih selesa.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi pusat penjagaan berkenaan termasuk jumlah kanak-kanak yang akan dipindahkan menerusi projek rintis terbabit.

"Seperti mana saya umumkan pada Februari lalu, seramai 80 kanak-kanak akan dipindahkan ke pusat penjagaan berkenaan dalam masa terdekat.

"Ini akan menjadi permulaan kepada usaha berterusan kami untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada depoh imigresen supaya penjagaan yang lebih manusiawi dapat diberikan, suasananya lebih kondusif berbanding tempat sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, sebagai permulaan pusat penjagaan itu akan diselia oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA) tanpa perlu anggota tambahan.

Bagaimanapun, katanya anggota yang akan ditempatkan di pusat penjagaan terbabit akan menjalani penyesuaian dengan tugasan yang diberikan.

"Untuk projek rintis ini, kanak-kanak terbabit akan diambil dari Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Semenyih dan KLIA.

"Kanak-kanak ini ada dua kategori iaitu kanak-kanak yang ada jagaan (ada penjaga seperti ibu) serta kanak-kanak yang tiada jagaan.

"Tempoh mereka berada dalam pusat jagaan itu ialah sehingga negara asal mereka dikenal pasti, sehingga kami berhubung dengan kedutaan negara mereka dan sehingga dokumen perjalanan mereka dapat dikeluarkan," katanya.

Ditanya sama ada elemen pendidikan akan dimasukkan dalam projek rintis terbabit, Saifuddin Nasution berkata, beliau amat mengalu-alukan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) jika ada yang berminat.

Katanya, pelaksanaan projek rintis itu hanya membabitkan kos yang minimum serta dalam keupayaan KDN.

"Kami cuma tinggal untuk menyelesaikan aspek logistik yang asas seperti memasukkan tempat tidur, mengenal pasti bekalan air dan elektrik serta keperluan lain," katanya.

Sementara itu,Saifuddin Nasution ketika berucap pada majlis itu meminta Ketua Pengarah Imigresen supaya menyegerakan perolehan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi.

Katanya, mesin baharu itu kelak dapat mengeluarkan lebih 1,000 pasport dalam sehari berbanding hanya 400 ketika ini sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di kaunter Imigresen.

"Apa sahaja yang boleh kita bagi keselesaan kepada rakyat, kena buat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 3:14 PM