Bicara kes saman fitnah Tun M dan Ahmad Zahid dibawa ke 13 Februari depan.
Bicara kes saman fitnah Tun M dan Ahmad Zahid dibawa ke 13 Februari depan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Perbicaraan dua kes saman fitnah membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan ke tahun depan.

Bicara kes saman fitnah difailkan Dr Mahathir terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno itu kerana mempersoalkan asal usul tokoh politik negara itu sepatutnya bermula 11 September lalu ditangguhkan ke 13 Februari depan.

Bagi bicara kes saman oleh Ahmad Zahid terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan menggunakan kedudukan bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes jenayahnya, yang sepatutnya bermula Isnin depan ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Peguam Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi mengesahkan perkembangan baharu dua kes saman berkenaan.

"Kedua-dua kes saman itu ditangguhkan. Untuk kes saman fitnah Ahmad Zahid terhadap anak guam mungkin Isnin depan akan tetapkan tarikh bicara baharu.

"Jika kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid, ia ditangguhkan ke 13 hingga 16 Februari tahun depan," katanya hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir, 96, pada 20 April tahun lalu dan melalui pernyataan tuntutannya, berkata Dr Mahathir memfitnahnya pada Majlis Pelancaran Aspirasi Parti Pejuang (Pejuang) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 23 Februari 2022.

Dakwanya, Dr Mahathir memfitnahnya bahawa beliau pernah hadir di rumahnya bersama beberapa individu lain bagi mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ahmad Zahid, 69, mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau seorang yang menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan.

Kata Ahmad Zahid, ia juga bermaksud beliau menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi Dr Mahathir bagi mencampuri urusan perbicaraan jenayah dan mencampuri siasatan yang dijalankan oleh agensi penguatkuasaan terhadapnya.

Dr Mahathir melalui saman difailkannya pula berkata Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepadanya ketika Mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya dengan sesungguhnya bahawa individu dirujuk defendan dalam kenyataan fitnah itu sebagai 'orang itu', 'dia' dan 'Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty' jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Beliau berkata, Ahmad Zahid yang berniat jahat dengan mengeluarkan kenyataan fitnah, mendedahkannya kepada rasa tidak puas hati dan dibenci oleh masyarakat.

Susulan itu, beliau berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 2:47 PM