Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan sehari ke Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, hari ini.

Perdana Menteri memulakan lawatannya dengan meninjau Poliklinik Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, sebaik tiba, 12.55 tengah hari tadi.

Beliau diberi penerangan mengenai sejarah dan fasiliti HSA sebelum dibawa meninjau wad selain Jabatan Fisioterapi (Pemulihan Anggota) HSA.

Turut menemani beliau, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri di Istana Pasir Pelangi, di sini, 11.30 pagi tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri majlis Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, yang membabitkan program dialog bersama pelajar universiti berkenaan serta generasi muda.

Perdana Menteri kemudian akan ke Ceramah Mega Madani DUN Simpang Jeram Dewan Terbuka Serbaguna Taman Desa, Sungai Abong, Muar, malam ini.

Lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Parlimen Pulai diakhiri dengan Jelajah Perpaduan Madani Pulai di Taman Rekreasi Taman Uda Utama, Tampoi, kira-kira 11 malam.

ANWAR beramah mesra bersama orang ramai ketika lawatan ke HSA. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANWAR beramah mesra bersama orang ramai ketika lawatan ke HSA. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 2:24 PM