Kuala Terengganu: Barisan Nasional (BN) Terengganu akan memberi tumpuan bagi membantu memenangi calon BN Datuk Hasan Arifin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin yang berlangsung, 5 Mei ini.

Ketua Kontinjan BN Terengganu A Latif Awang berkata pada hari penamaan calon semalam, Terengganu menghantar lebih 10 buah bas selain kereta persendirian ke Rompin untuk memberi sokongan kepada calon BN itu.

“Kami memberi mandat kepada semua lapan ketua bahagian yang akan mengetuai enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kami meletakkan KPI di setiap bahagian supaya ada pertambahan undi majoriti pada PDM yang dijaga.

“Kami datang untuk membantu PDM yang akan menjaga dua daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tioman dan DUN Muazam Shah,” katanya kepada Bernama di sini.

A Latif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata 50 jentera parti dari setiap lapan bahagian dari Terengganu yang kesemuanya 400 orang akan menjaga setiap enam PDM secara tetap sehingga hari mengundi.

PRK pada 5 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN yang diwakili Hasan manakala PAS menurunkan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang Nazri Ahmad. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 11:04 AM