Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM1.218 bilion dilaporkan di seluruh negara tahun lalu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Berdasarkan statistik 2023, beliau berkata, kes jenayah telekomunikasi seperti tipu peraduan SMS, tipu penyamaran di talian dan tipu panggilan telefon antara kes tertinggi yang direkodkan dengan 10,348 kes membabitkan kerugian RM352.9 juta.

"Dalam isu ini juga, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berperanan untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan jenayah dalam talian.

"Untuk makluman, sepanjang 2023, 6,434 kertas siasatan dibuka melalui panggilan NSRC membabitkan jumlah kerugian RM105.4 juta," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, daripada jumlah itu, RM17.5 juta berjaya disekat sebelum dikeluarkan oleh penjenayah dan kira-kira RM178,000 jumlah sitaan dipulangkan kepada mangsa.

Beliau menjawab soalan Senator Manolan Mohamad berkaitan langkah kementerian bagi mengatasi isu 'scammer' atau penipu yang mengakibatkan kerugian dan kehilangan wang dalam akaun simpanan mangsa.

Shamsul Anuar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi jenayah penipuan dalam talian.

Antaranya perkhidmatan portal Semak Mule dan mewujudkan platform media sosial bagi menyampaikan maklumat terkini mengenai jenayah scam kepada masyarakat.

Kata beliau, sepanjang 2023, 1,610 pameran dan 3,727 ceramah berkaitan scam dianjurkan bagi memberikan pencerahan serta kesedaran kepada masyarakat berkaitan jenayah itu.-Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 12:51 PM