IFEDAYO bintang import PDRM FC.
IFEDAYO bintang import PDRM FC.
Izzali Ismail


Alor Setar: Insiden pemain import PDRM FC Ifedayo Olusegun yang sengaja menendang kaki pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rizal Ghazali di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Sabtu lalu mengundang rasa kurang senang dan kecewa dalam kalangan penyokong Kedah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) Nor Hasmadi Hamzah berkata, insiden pada babak kedua perlawanan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dan menjadi topik perbincangan panas dalam kalangan penyokong Sang Kenari.

"Sepatutnya perlu ada tindakan tegas kerana insiden seperti ini boleh sahaja meleret dan mencetuskan rasa tidak puas hati pemain sehingga boleh mencetus tindakan di luar kawalan.

"Teknologi video bantuan pengadil (VAR) sepatutnya mampu melihat dengan jelas, namun kami mengganggap ianya tidak sangat membantu dalam perlawanan ini kerana kejadian sebegini boleh terlepas.

"Apa yang disaksikan adalah Ifedayo dilihat melepaskan kekecewaan dengan menyepak tapak kaki Rizal selepas gagal memanfaatkan peluang meledak gol apabila cubaannya untuk menggelecek penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz tidak berjaya," katanya.

Menurut Nor Hasmadi lagi, pihaknya amat berharap semua pengadil akan bertindak dengan lebih sensitif untuk perlawanan akan datang bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 6:33 PM