Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Ahli jawatankuasa persatuan penjaja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM27,000 pada tahun lalu.

Difahamkan, lelaki terbabit menerima wang itu daripada seorang pemilik syarikat pembinaan sebagai dorongan membantu syarikat terbabit mendapatkan lesen sementara daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sumber berkata, suspek berusia 57 tahun ditahan kira-kira 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.

"Peniaga (pemilik syaikat) terbabit bagaimanapun diambil tindakan oleh pihak berkuasa berkenaan walaupun dikatakan sudah membayar wang kepada suspek.

"Suspek dipercayai menerima suapan melalui beberapa pindahan wang ke akaun bank syarikat miliknya dan melakukan kesalahan itu sekitar Jun sehingga Julai 2022," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM sebaik keterangan diambil.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 11:23 AM