GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat.

Difahamkan, suapan berkenaan adalah sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot milik sebuah jabatan kerajaan.

Sumber berkata, kesemua suspek lelaki yang berusia antara 42 hingga 59 tahun itu dipercayai ditahan kira-kira 6 petang hari ini ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Katanya, dua suspek yang ditahan bertugas di Putrajaya manakala dua lagi suspek bertugas di sebuah daerah di Selangor.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai meminta dan menerima wang suapan secara bulanan daripada pemilik syarikat berkenaan yang dimasukkan ke akaun bank masing-masing dari tahun 2019 hingga 2023," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009.

"Kesemua suspek akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 9 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 10:55 PM