EMPAT pegawai penguat kuasa dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk direman kerana disyaki meminta dan menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot milik sebuah jabatan kerajaan berjumlah RM14,000. FOTO Ihsan SPRM

Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima suapan daripada pemilik sebuah syarikat sebagai balasan membantu urusan tuntutan pembayaran penyelenggaraan bot milik sebuah jabatan kerajaan berjumlah RM14,000.

Perintah reman tiga hari bermula hari ini sehingga 10 November ini dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas SPRM membuat permohonan reman itu di Mahkamah Majistret 6, Shah Alam pagi tadi.

Sumber berkata, kesemua lelaki yang berusia 42 hingga 59 tahun itu ditahan jam 6 petang semalam, ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

"Dua daripada mereka bertugas di Putrajaya manakala dua lagi bertugas di sebuah daerah di Selangor.

"Siasatan awal mendapati, keempat-empatnya dipercayai meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik syarikat itu yang dimasukkan ke akaun bank masing-masing daripada 2019 hingga 2023," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:16 PM