GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang pembantu penguat kuasa sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah.

Mereka dikatakan menerima suapan daripada seorang pemilik kedai runcit berjumlah kira-kira RM3,000.

Sumber berkata, suspek pertama memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam dan suspek kedua dipercayai meminta wang rasuah sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kedai runcit terbabit mengikut Akta Kastam 1967.

Menurutnya, dalam kejadian pada tahun 2020, tindakan diambil berikutan pemilik kedai terbabit memiliki dan menjual rokok seludup.

"Kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 2 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok jam 8.30 pagi untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 5:10 PM