PASUKAN penyelamat membawa keluar mangsa yang lemas dalam insiden kepala air di Lembah Maksina, Sungai Makuau. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN penyelamat membawa keluar mangsa yang lemas dalam insiden kepala air di Lembah Maksina, Sungai Makuau. FOTO Ihsan Bomba.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Operasi membawa keluar tiga individu yang maut dalam insiden kepala air di Sungai Makuau, Lembah Maksina, Tungku, semalam berlangsung lima jam dan berakhir tengah hari tadi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, tiga mangsa itu ditemui tertimbus di bawah kayu balak pada 1.37 pagi tadi.

"Operasi mengeluarkan mayat terpaksa dijalankan lima jam selepas itu (selepas 1.37 pagi) berikutan cuaca kurang baik dan keadaan gelap di kawasan penemuan.

"Mangsa yang maut membabitkan seorang wanita dan dua lelaki yang dikenali sebagai Rosnaneh Mutahir, 58; Saharuddin Baharuddin , 44; dan Saleh Latani yang juga ketua ekspedisi disertai mangsa.

"Semua mangsa dan korban sudah berjaya dikeluarkan dan operasi ditamatkan pada jam 1 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, sekumpulan 15 individu berusia 25 hingga 58 tahun yang melakukan aktiviti 'river trekking' terperangkap dalam kepala air di kawasan berkenaan.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.28 malam, yang dibuat dua individu terselamat yang sempat keluar dari kawasan kejadian untuk mendapatkan bantuan.

Riki Mohan berkata, operasi mencari dan menyelamatkan mangsa turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Perhutanan.

Beliau turut mengesahkan hanya tiga individu yang maut dan 12 orang lagi terselamat, serta tiada mangsa hilang.

Menurutnya, semua mangsa berjaya dibawa keluar pada 12 tengah malam tadi dengan dua mangsa cedera diberi rawatan awal, sebelum dihantar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 4:37 PM