Datuk Khaidirah Abu Zahar (kiri) dan Datuk Kalsom Nordin
Datuk Khaidirah Abu Zahar (kiri) dan Datuk Kalsom Nordin
BERNAMA

Melaka: Calon tertua bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Datuk Kalsom Nordin dan selebriti Datuk Khaidirah Abu Zahar merupakan antara lima calon wanita yang menang dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka semalam.

Seramai 16 calon wanita bertanding dalam PRN Melaka dan daripada jumlah itu, empat daripada Barisan Nasional (BN) dan satu daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Dun yang ditandingi mereka.

Kalsom, 68, yang dikenali sebagai 'Kak Som' merampas kerusi yang sebelum ini disandang Datuk Norhizam Hassan Baktee atau terkenal dengan jolokan 'YB Viral' yang bertanding atas tiket Bebas bagi PRN kali ini.

Beliau yang pertama kali bertanding merupakan calon tertua dalam PRN Melaka, menang dengan majoriti 131 undi dalam saingan lima penjuru di Dun Pengkalan Batu menewaskan calon PH-Dap Muhamad Danish Zainudin, Mohd Azrudin Md Idris (PN-Bersatu), Dr Mohd Aluwi Sari daripada parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Norhizam.

Sementara itu, Khaidirah atau dikenali sebagai Dira, yang merupakan anak perempuan Ketua Menteri Melaka ke-8 Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin berjaya menawan Dun Rim dengan majoriti 1,874 undi.

Beliau menewaskan Azalina Abdul Rahman (PN-Bersatu) dan B Prasanth Kumar (PH-PKR).

Turut menang adalah Siti Faizah Abdul Azis, calon BN di Sungai Rambai dan Tuminah Kadi, calon BN Pantai Kundor, dengan masing-masing memperoleh majoriti 1,137 dan 827 undi.

Selain itu, calon muka baharu PH, Leng Chau Yen menang 'besar' di Dun Bandar Hilir apabila mengecewakan ketiga-tiga pencabarnya dengan majoriti 7,778 undi.

Dalam pada itu, kesemua 22 calon Bebas yang bersaing di pentas PRN Melaka perlu akur kerana gagal untuk menawan hati pengundi untuk menang kerusi yang mereka tandingi.

Calon tunggal parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) Abdul Aziz Osani Kasim yang bertanding di Dun Machap Jaya dan kelima-lima calon parti Putra turut tewas dalam PRN kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 12:56 AM