IDRIS tewas kepada calon Fairul Nizam. FOTO arkib NSTP
IDRIS tewas kepada calon Fairul Nizam. FOTO arkib NSTP
Saiful Haizan Hasam


Melaka: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menjadi punca pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan, kalah saingan pada kerusi ditandingi mereka semalam.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang diterima sebagai ahli PKR sebelum bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Fairul Nizam Roslan.

Dalam saingan itu, Fairul Nizam 4,939 undi, menang dengan majoriti 747 undi berbanding Idris memperoleh 4,192 undi.

Seorang lagi calon dari Perikatan Nasional (PN), B Dhanesh mendapat 3,879 undi dan tiga lagi calon Bebas yang turut bertanding gagal memberikan sebarang impak.

Sementara itu, seorang lagi ADUN yang menarik sokongan, Datuk Noor Azman Hassan menyertai AMANAH sebelum bertanding sebagai calon PH di DUN Pantai Kundor, turut ketinggalan.

Calon BN, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berada di hadapan dengan 2,341 undi berbanding calon PN, Mohamad Ridzwan Mustafa, 1,961 undi manakala Nor Azman, 1,752 undi.

Bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, yang bertanding sebagai calon Bebas untuk mempertahankan kerusi itu jauh ditinggalkan lawan lain apabila sekadar meraih 1,218 undi.

NORHIZAM Hassan. FOTO arkib NSTP
NORHIZAM Hassan. FOTO arkib NSTP

Kerusi itu dimenangi oleh calon BN, Datuk Kalsom Nordin dengan majoriti 131 undi selepas memperoleh 4,830 undi, menewaskan calon PH, Muhamad Danish Zainudin dengan 4,708.

Dalam saingan itu, calon PN, Mohd Azrudin Md Idris memperoleh 2,681 undi.

Walaupun tewas dalam saingan itu, undi yang diperoleh Norhizam adalah yang tertinggi dalam kalangan 22 calon Bebas yang mengambil bahagian dalam PRN Melaka.

Seorang lagi ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri iaitu penyandang kerusi DUN Telok Mas, Noor Effandi Ahmad, tidak bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 9:26 PM