Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Roji Kawi


Lundu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mungkin tidak akan memperbaharui lesen pengusaha taska yang tidak mematuhi syarat wajib supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di premis mereka.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, syarat itu termaktub di dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, namun masih ada pengusaha yang mengabaikannya.

Justeru katanya, pihaknya akan meneliti untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha taska yang gagal mematuhi peraturan itu.

"Dalam peraturan, pengusaha taska harus memperbaharui lesen perniagaan mereka setiap lima tahun dan antara syaratnya ialah mesti memasang CCTV.

"Jika mereka tidak mematuhinya, kita boleh mengambil tindakan tegas untuk tidak memperbaharui lesen mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Penangguhan Pesta Sematan 2023, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan dan Adun Opar, Billy Sujang.

Nancy berkata, kes penderaan kanak-kanak di taska kini semakin membimbangkan dengan purata 20 kes dilaporkan setiap hari.

"Itu kes yang dilaporkan, jumlahnya mungkin lebih tinggi kerana ada yang tidak dilaporkan, sebab itu pengusaha taska harus mematuhi ketetapan kerana pemasangan CCTV akan meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke taska kerana mereka boleh mengesan jika berlaku kes penderaan.

"Kita sering bercakap mengenai usaha untuk menggalakkan lebih ramai wanita kembali bekerja, tetapi jika ini satu cabaran (ketiadaan CCTV) mungkin mereka takut hendak menghantar anak mereka ke taska," katanya.

Katanya, KPWKM akan terus mengadakan perbincangan dengan semua pihak yang terbabit bagi memastikan peraturan pemasangan CCTV dipatuhi seperti yang ditetapkan di dalam akta.

"Kita akan melaksanakan penguatkuasaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Ketua Pengarah JKM mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan," katanya.

Minggu lalu, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang, Sabah.

Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak lelaki itu ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.

Berikutan itu, seorang pengasuh taska berusia 27 tahun yang disyaki mendera kanak-kanak berkenaan direman ditahan polis dan direman seminggu mulai Khamis lalu.

Sementara itu, mengenai kes kanak-kanak lelaki yang disyaki menjadi mangsa dera dua wanita, termasuk ibu kandungnya di Pasir Gudang, Johor, Nancy berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun itu masih menerima rawatan di hospital.

"JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menjadi pelindung dan kita juga akan membincangkan siapa yang boleh menjaga kanak-kanak itu kerana dia mempunyai datuk, nenek serta kakak," katanya.

Mengenai Pesta Sematan 2023, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, ia boleh meletakkan pekan terakhir di penghujung sebelah barat Borneo itu sebagai destinasi tarikan pelancong.

"Kawasan ini mempunyai banyak tempat menarik dan pelbagai acara yang diadakan sempena pesta ini seperti perlumbaan basikal pastinya menarik peserta dari luar Sarawak sekali gus menyumbang kepada industri pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 5:29 PM