Datuk Seri Nancy Shukri, ketika Program Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Media 2023 di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Seri Nancy Shukri, ketika Program Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama Media 2023 di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Hanya 11 taska khusus untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) beroperasi setakat 31 Januari lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, taska terbabit memberi manfaat kepada 264 kanak-kanak OKU.

"Jumlah ini adalah 4.71 peratus berbanding seramai 5,606 bayi dan kanak-kanak OKU berusia sehingga empat tahun yang berdaftar.

"Bagi menggalak dan menyokong lebih banyak penubuhan dan pengoperasian taska OKU di seluruh negara, KPWKM menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyediakan bantuan kewangan kepada pengusaha taska OKU iaitu bantuan kewangan

penubuhan dan bantuan kewangan operasi," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dikemukakan Datuk Mumtaz Md Nawi (Tumpat-PN) mengenai berapa bilangan taska OKU di seluruh negara berbanding nisbah bayi dan kanak-kanak OKU didaftarkan serta apakah insentif kewangan yang diberikan dalam membangunkan kanak-kanak OKU sejak bayi.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, bantuan disalurkan kerajaan tidak hanya terhad kepada pengusaha taska, malah ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska OKU juga akan menerima subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak taska sehingga RM180 sebulan.

"Bantuan ini berdasarkan kelayakan ditetapkan. Subsidi ini boleh membantu meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk menyediakan peluang mendapatkan asuhan dan didikan awal khusus yang memenuhi keperluan anak-anak mereka.

"Ini seterusnya boleh menyumbang ke arah pembangunan modal insan yang berkualiti, sihat dan seimbang," katanya.

Katanya, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak OKU ini juga mempunyai pilihan menghantar kanak-kanak OKU ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menyediakan penjagaan atau keperluan khusus untuk OKU.

"Pada masa ini, hampir 800 orang kanak-kanak OKU berusia hingga empat tahun mendapat manfaat daripada 565 PDK di seluruh negara.

"PDK juga menerima bantuan kewangan dari KPWKM untuk meringankan beban kos operasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 3:38 PM