GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebuah taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dipercayai terbabit dengan kes penderaan kanak-kanak didapati tidak patuh dengan Akta Taska 1984.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini, berkata, ia berdasarkan pemeriksaan dilakukan JKM pada 29 Mac lalu.

"Pengusaha taska terbabit sudah diberi notis peringatan untuk membuat penambahbaikan dengan kadar segera.

"Malah, taska terbabit dalam proses penutupan sementara bagi tujuan menyediakan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di premis berkenaan.

"JKM akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya," katanya.

Menurutnya, kementerian memandang serius berkenaan isu tular berkenaan.

"Dalam pengurusan taska, bidang kuasa JKM adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas taska.

"Bagaimanapun, dalam isu keselamatan kanak-kanak, KPWKM melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka.

"Adalah menjadi tanggungjawab pengusaha taska untuk memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska," katanya.

Katanya, jika terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan polis perlu dibuat.

"Kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak-kanak kepada pihak polis.

"Orang ramai juga boleh menghubungi Talian Kasih di nombor 15999 dan WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau tampil di mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah berhampiran," katanya.

Terdahulu, satu hantaran dimuat naik seorang wanita mengenai bayi perempuannya berusia satu tahun sebulan dipercayai didera dengan dicubit, dicakar dan digigit ketika dalam jagaan di sebuah taska di Putrajaya yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:10 PM