SAARANI mengadakan sidang media selepas istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah hari ini. FOTO Bernama
SAARANI mengadakan sidang media selepas istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah hari ini. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad meminta rakyat memberi kepercayaan kepada pembentukan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak memandangkan kedua-dua gabungan politik itu disifatkan berpengalaman.

Pengerusi BN Perak itu berkata, jika kedua-dua gabungan itu mempunyai niat baik dan tujuan sama dalam memberi fokus kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat, beliau yakin perbezaan yang timbul sebelum ini dapat diketepikan.

"Saya fikir kedua-dua parti ini sudah berpengalaman dan rasionalnya ada. Saya yakin kita akan kesampingkan perbezaan yang ada dan memilih untuk mencari titik pertemuan kerana tujuannya sama.

"(Iaitu) mana dan siapa pun yang jadi kerajaan dan dapat kuasa, fokusnya hanya untuk rakyat. Jadi ketepikan segala sampingan dan tumpu pada perkara yang sama," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Istiadat Mengangkat Sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-15 yang berlangsung di Istana Iskandariah, di sini, petang tadi.

Beliau berkata sedemikian ketika ditanya pemberita mengenai sejauh mana jaminan dapat diberikan agar kerajaan campuran BN-PH Perak yang baharu dibentuk, stabil berikutan BN hanya memenangi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak sementara PH memenangi 24 kerusi.

Apabila ditanya sekiranya keputusan kerajaan campuran BN-PH di Perak turut berlaku di peringkat pembentukan kerajaan Persekutuan yang dijangka diumumkan esok, beliau berkata, perbincangan mesyuarat Biro Politik Umno yang dihadirinya semalam seakan memberi bayangan itu.

"Dalam mesyuarat itu saya sudah bertanya kepada Biro Politik dan juga kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) adakah Perak perlu terikat dengan keputusan di (peringkat) Pusat (Persekutuan).

"Jawapannya (yang diberikan), sebaik mungkin kita samalah, apa yang berlaku di Pusat dan negeri tetapi jika negeri perlu untuk melakukannya terlebih dahulu, maka dibenarkan.

"Sebab itu saya dengan mandat yang diberikan oleh Presiden dan Biro Politik, maka saya maklumkam kepada istana (Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) bahawa saya sedia untuk tubuhkan kerajaan bersama PH (hari ini)," katanya.

Kerajaan campuran BN-PH Perak yang diberi nama sementara 'Kerajaan Perpaduan Perak' tertubuh dengan istiadat angkat sumpah Saarani sebagai Menteri Besar Perak ke-15, petang tadi.

Bagi pembentukan kerajaan pusat (persekutuan), media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh masa kepada parti politik untuk membentuk kerajaan sehingga jam 2 petang esok.

Untuk rekod, Bagi kerusi Dun Perak, BN memenangi hanya sembilan kerusi, manakala PH (24 kerusi) dan PN (26 kerusi).

Pembentukan Kerajaan Perpaduan Perak BN-PH sekali gus menyaksikan gabungan itu akan mempunyai 33 kerusi Dun, cukup serta melepasi majoriti mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 10:51 PM