Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menerima 42 laporan berkait penggunaan kad pengenalan oleh individu lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri setakat jam 6 petang tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu 16 laporan diterima di Selangor; Kedah (9); Pulau Pinang (8); Terengganu (5); Negeri Sembilan (3) dan Kelantan (1).

Menurutnya, semua laporan itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kita menjangkakan akan ada laporan polis lagi dibuat berhubung penggunaan kad pengenalan oleh individu lain.

"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian seumpama ini berlaku kerana disyaki terdapat pemalsuan kad pengenalan," katanya pada sidang media khas, di Bukit Aman, hari ini.

Razarudin berkata, selain itu, pihaknya turut menerima laporan berhubung menghalang penjawat awam dan khianat bendera parti.

"Polis juga membuka siasatan berhubung satu laporan mencetak menyerupai kertas undi yang disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (m) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Dua laporan turut diterima terkait ketidakpuasan hati berhubung celupan dakwat di jadi kanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 8:42 PM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang khas sempena pilihanraya negeri 2023 di Pusat Kawalan PRN di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang khas sempena pilihanraya negeri 2023 di Pusat Kawalan PRN di Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI