Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis akan menjalankan siasatan berhubung individu yang menunjukkan kertas undi kepada umum sekiranya mempunyai laporan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, tindakan itu adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Bagaimanapun, katanya setakat jam 6 petang, belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan berhubung perkara itu.

"Sekiranya ada laporan polis, kita akan siasat. Buat masa ini belum ada laporan (diterima) setakat jam 6 petang tadi.

"Kalau ada laporan dia menunjukkan kertas undi yang sudah dipangkah, mungkin kesalahan yang kita boleh jeniskan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menentukan kerahsiaan dalam pengundian," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.

Perbuatannya mengundang kritikan pengguna media sosial, yang berkongsi gambar Muhammad Sanusi mempamerkan pilihannya pada kertas undi berkenaan ketika gambarnya dirakam petugas media, sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 9:13 PM