Arajan (kanan) dan Hamsia  (kiri) didenda RM10.000 atas kesalahan memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. FOTO Hazreen Mohamad
Arajan (kanan) dan Hamsia (kiri) didenda RM10.000 atas kesalahan memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dua warga Filipina masing-masing didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki kad pengenalan palsu.

Tertuduh Arajan Murabbi, 45, dan Hamsia Abd Fatah, 46, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dan diusir keluar dari negara ini.

Mengikut pertuduhan, Arajan didakwa memiliki kad pengenalan palsu atas nama Ibrahim Mohd Yusof beralamat di Kota Kinabalu, Sabah manakala Hamsia didakwa memiliki kad pengenalan palsu atas nama Rosna Kapiting beralamat di Semporna, Sabah.

Kesalahan itu dikesan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Imigresen dan polis di Taman PD Utama dan Chuah, Port Dickson antara jam 10.30 hingga 11.15 malam, Sabtu lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JPN Nor Imasaruzaida Mohammad Zakuan dan Shah Amirul Gautamaruben Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:47 PM