Siti Rohana Idris


Tumpat: Kira-kira 200 wau puyuh dan wau bulan pelbagai saiz yang bertemakan kemerdekaan dipamer dan dinaikkan di Pantai Geting, di sini, hari ini.

Wau dengan yang paling besar berukuran 5.5 meter itu dikumpulkan sempena acara Layangan Merdeka dan disertai 15 pasukan dari negeri ini dan peminat wau dari Kedah, Terengganu serta Pahang.

Pemilik wau puyuh gergasi, Abdul Majid Abdul Rahman, 39, berkata, dia bersama tujuh rakan mengambil masa dua minggu untuk menghasilkan wau itu.

"Material yang digunakan adalah plastik tidak mudah koyak, manakala tulang belakang wau pula menggunakan batang pinang kerana lebih kukuh untuk wau bersaiz besar.

"Kos keseluruhan sekitar RM300 dan rekaannya hasil tangan kami sendiri, bukan cetakan. Sebab itulah ia memakan masa untuk siap," katanya ketika ditemui di sini.

Abdul Rahim yang berasal dari Kampung Badang, Kota Bharu sudah hampir 15 tahun terbabit dalam pembuatan wau, malah sering menerima tempahan daripada penggemar permainan tradisional itu.

Sementara itu, penganjur acara, Muhammad Nor Akraminuddin Mohd Razihan, 33, berkata, acara Layangan Merdeka memasuki siri ketujuh penganjuran sejak kali pertama pada 2019.

"Kami berkampung di pantai ini sejak malam tadi, dengan majlis pembukaan menerbangkan 50 wau pada detik 12 tengah malam sebagai simbolik hari merdeka.

"Untuk hari ini pula, acara diteruskan dengan pameran kira-kira 200 wau pelbagai rekaan, sebelum ia diterbangkan," katanya yang memberitahu hebahan acara itu sudah dibuat sejak bulan lalu untuk menggumpulkan peminat wau.

"Penganjuran acara ini untuk menarik minat golongan muda, supaya mencintai permainan tradisional, budaya Kelantan. Kita akan teruskan lagi di masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 4:36 PM
Antara 200 wau puyuh dan wau bulan yang dipamerkan di Pantai Geting, di sini sempena Layangan Merdeka. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Antara 200 wau puyuh dan wau bulan yang dipamerkan di Pantai Geting, di sini sempena Layangan Merdeka. FOTO SITI ROHANA IDRIS