SEBAHAGIAN daripada 20 wau puyuh gergasi pelbagai corak termasuk dua berlatarbelakangkan Jalur Gemilang yang dinaikkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 di Pantai Geting, Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
SEBAHAGIAN daripada 20 wau puyuh gergasi pelbagai corak termasuk dua berlatarbelakangkan Jalur Gemilang yang dinaikkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 di Pantai Geting, Tumpat, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Rohana Idris


LANGIT Pantai Geting, Tumpat dipenuhi dengan lebih 20 wau puyuh gergasi pelbagai corak termasuk dua berlatarbelakangkan Jalur Gemilang, hari ini.

Wau puyuh gergasi berukuran antara 2.7, 4 dan 5.5 meter itu dinaikkan 150 ahli dari Kelab Gabungan Wau Kampung Sireh sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ketua pasukan, Mohd Nafais Razlan, 28, berkata beberapa wau puyuh bersaiz gergasi itu dihasilkan lapan ahli kumpulan itu semata-mata untuk acara hari ini.

“Dua wau puyuh bertemakan kemerdekaan dihiasi Jalur Gemilang berukuran 4 dan 5.5 meter baharu dihasilkan selama kira-kira sebulan.

“Cuaca dan angin pada hari ini sangat elok dan sesuai untuk menaikkan semua wau puyuh itu untuk tontonan orang ramai yang membanjiri kawasan Pantai Geting ini.

“Setiap satu wau berukuran 5.5 meter seberat hampir 30 kilogram itu dikendalikan enam pemain wau,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, acara menaikkan wau puyuh gergasi adalah acara tahunan sejak beberapa tahun lalu, namun bilangan wau dinaikkan bergantung kepada keadaan angin sama ada elok atau sebaliknya.

“Bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan, kami mewakili golongan muda yang meminati permainan wau menzahirkan rasa cinta kepada negara menerusi acara ini (menaikkan wau).

“Kami akan teruskan acara ini pada masa akan datang dan berharap lebih banyak lagi wau puyuh gergasi dapat dinaikkan dan mungkin akan menghasilkannya dalam saiz lebih besar berbanding sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 10:25 PM