PENGUNJUNG melihat antara layang-layang dipertandingkan.
PENGUNJUNG melihat antara layang-layang dipertandingkan.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Malaysia merekodkan penciptaan pelbagai jenis wau tradisional dengan Kelantan antara negeri pelopornya yang mengetengahkan wau bulan.

Wau jenis itu tidak perlu diperkenalkan lagi kerana cukup tersohor hingga tokoh dikir barat negeri itu, Allahyarham Seman Wau Bulan turut mencipta lagu dikir yang menceritakan berkenaan wau bulan saja.

Wau lain yang dicipta adalah wau bermotifkan haiwan seperti kucing, merak, dodo helang selain wau kangkang dan jala budi.

TAK sangka bakal membawa pulang RM5,000, berterima kasih kepada pengundi.
TAK sangka bakal membawa pulang RM5,000, berterima kasih kepada pengundi.

Tidak ramai tahu wau jala budi berasal dari Kedah dan sama hebatnya dengan wau bulan serta sudah dimainkan sejak puluhan tahun dahulu.

Ketika Pesta Wau Antarabangsa ke-35 di Pantai Geting, Tumpat, baru-baru ini, wau jala budi dinaikkan dan mendapat perhatian ramai menerusi reka bentuknya menyerupai tumbuhan dikenali daun budi.

Kerangka ekornya pula dibentuk seperti jala yang melengkapkan lagi namanya jala budi. Biasanya wau ini disertai busur pada bahagian kepalanya untuk menghasilkan bunyi ‘berdengung’ ketika terbang di awan.

Peserta dari Kuala Lumpur, Mohd Razi Mohd Said, 45, sempat mengadakan kursus pembuatan wau jala budi ketika pesta berlangsung dan mengakui menghasilkan wau jenis itu memberi kepuasan kepadanya.

Katanya, dia sudah 10 kali menyertai pesta begitu untuk memberi peluang kepadanya berkongsi minat bersama mereka yang ‘sekepala’ dengannya dan orang ramai.

RAZI menunjukkan wau puyuh yang dipertandingkan.
RAZI menunjukkan wau puyuh yang dipertandingkan.

“Sejak 10 tahun lalu, saya berminat dengan wau selepas meninggalkan dunia permotoran. Wau kegemaran saya jenis tradisional termasuk Jala Budi.

“Untuk penghasilan wau begini, tidak memerlukan modal besar dan penyertaan pertama saya dalam Pesta Wau Antarabangsa, 10 tahun lalu menyuntik semangat saya untuk terus menghasilkan wau tradisional.

“Saya juga mula belajar cara membuat wau seperti memilih buluh, membentuk kerangka dan menyobek,” katanya yang turut menyertai pertandingan wau di luar negara.

Menurutnya, minat mendalam terhadap wau menjadikan proses pembuatan wau jadi mudah dan adakalanya disiapkan dalam tempoh beberapa jam, bergantung kepada saiz.

“Ketika menyertai pesta begini, ia lebih memanfaatkan apabila kita dapat bertukar pendapat dan pengalaman dengan peserta lain.

“Banyak lagi berkenaan wau dapat dipelajari sama ada dari segi pembuatan dan kelainan wau,” katanya.

Peserta dari Bali, Indonesia, Kadek Armika, 38, berkata, tahun ini adalah kali kedua dia menyertai pesta wau selepas kali terakhir pada 2015.

“Walaupun tahun lalu saya tidak turut serta, namun tetap datang ke negeri ini menemani kawan-kawan yang lain.

“Melihatkan sambutan daripada penduduk di sini yang cukup ramai ketika itu menyebabkan saya rasa rugi tidak mengambil bahagian,” katanya.

PESERTA bersama jenis wau tradisional Kelantan yang dipertandingkan di Pesta Wau Antarabangsa kali ke-35.
PESERTA bersama jenis wau tradisional Kelantan yang dipertandingkan di Pesta Wau Antarabangsa kali ke-35.

Dalam pesta itu sebanyak 18 acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa dipertandingkan dan untuk tahun ini juga menyaksikan Kelantan mempertahankan gelaran juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut.

Matlamat utama pesta wau yang diadakan adalah untuk menarik minat pelancong antarabangsa untuk datang ke negeri ini dan menyaksikan sendiri keunikan wau yang terdapat di negara ini.

Sebanyak lapan negara mengambil bahagian dalam Pesta Wau Antarabangsa Ke-35 antaranya, Brunei, Kemboja, Indonesia, Thailand, India, Singapura, New Zealand dan China.

Pesta anjuran kerajaan Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 10:36 AM