SEBAHAGIAN ahli Kelab Wau Hero dari Kampung Tapang dan Kampung Jambu, Kota Bharu bergambar kenangan di samping wau puyuh bersaiz gergasi di Pantai Geting.
SEBAHAGIAN ahli Kelab Wau Hero dari Kampung Tapang dan Kampung Jambu, Kota Bharu bergambar kenangan di samping wau puyuh bersaiz gergasi di Pantai Geting.
Siti Rohana Idris

Tumpat: Tiga wau puyuh gergasi berjaya diterbangkan sekumpulan ahli Kelab Wau Hero dari Kampung Tapang dan Kampung Jambu di Pantai Geting sini petang kelmarin.

Ketua kelab, Tuan Sabri Tuan Mat berkata, dua wau bersaiz 6.4 meter dan satu 5.5 meter diterbangkan bersama belasan lagi wau puyuh lain.

Katanya, pada Ogos setiap tahun pihaknya mengadakan program menaikkan wau puyuh di kawasan berkenaan.

“Pada bulan ini, keadaan angin sangat sesuai untuk menerbangkan wau. Sebenarnya sejak dua minggu lalu perancangan itu sudah dibuat namun terpaksa ditunda berikutan hujan.

“Hari ini ( semalam) kita lakukan percubaan sebelum kita naikkan sekali lagi pada 31 Ogos nanti sempena sambutan Hari Kebangsaan dengan menambahkan satu lagi wau puyuh Gergasi bersaiz lebih besar iaitu 7 meter,” katanya ketika ditemui di Pantai Geting, di sini.

Kesemua wau puyuh gergasi itu dihasilkan Khairul Muzaffar Nasir, 28, yang mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyiapkannya.

Khairul Muzaffar berkata, dia menghasilkan wau puyuh itu sambil dibantu beberapa rakannya.

“Memandangkan saya bekerja sebagai pemandu lori, kerja menyiapkan wau ini dilakukan pada waktu malam sehingga awal pagi.

“Saya juga ada mengambil tempahan orang ramai yang inginkan wau puyuh dan selalunya ia dihasilkan dalam saiz biasa iaitu 3 hingga 3.5 meter,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:07 AM