MUHAMMAD Nor Akraminuddin menunjukkan wau puyuh gergasi bertemakan Jalur Gemilang di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMMAD Nor Akraminuddin menunjukkan wau puyuh gergasi bertemakan Jalur Gemilang di Pantai Geting. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


LIMA wau puyuh gergasi bertemakan Jalur Gemilang yang dipamerkan di Dataran Pantai Geting di Tumpat menarik perhatian pengunjung di pantai itu.

Empat daripada wau itu dihasilkan seorang guru, Muhammad Nor Akraminuddin Mohd Razihan, 29, dari Kampung Telaga Bata, Sering, Kota Bharu yang menyertai pertandingan wau sempena Hari Kebangsaan di pantai itu, hari ini.

Wau puyuh paling besar yang dihasilkan dalam pertandingan itu adalah berukuran lima meter lebar dan lapan meter tinggi yang dihasilkan sejak seminggu lalu.

Muhammad Nor Akraminuddin berkata, semua wau itu dihasilkan olehnya dengan bantuan rakan dan saudara mara dengan kos sebanyak RM200 setiap satu wau.

"Sebenarnya saya memang ada kemahiran membuat wau puyuh dan wau bulan sejak kecil tapi kurang dipraktikkan sekarang kerana bekerja di Kuala Lumpur.

"Apabila mendapat tahu ada pertandingan membuat dan menaikkan wau sempena merdeka (Hari Kebangsaan), saya mencuba nasib dan mengasah kembali ilmu membuat wau ini.

"Semua wau puyuh ini saya akan cuba terbangkan hari ini bergantung kepada keadaan cuaca dan angin," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain wau yang bertemakan Jalur Gemilang, dia juga menghasilkan wau puyuh yang dilekatkan pelekat virus Covid-19 bagi menyertai pertandingan kategori wau cantik.

Menurutnya lagi, kebiasaan wau yang dihasilkannya akan ada yang meminta untuk membeli dan ia dijual mengikut saiz serta material yang digunakan.

"Bagi wau puyuh yang bertemakan Jalur Gemilang ini sudah ada yang ingin membeli dan besar kemungkinan akan dijual pada harga RM500.

"Biasanya harga ditetapkan bergantung kepada saiz wau dan bahan yang digunakan malah setakat ini yang paling tinggi berjaya dijual adalah RM500," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 4:14 PM